Malaysia Dateline

Siapa penyamun penyebab PH Plantation rugi, terpaksa jual aset?

Utusan Malaysia semalam melaporkan tentang kerugian besar sebuah anak syarikat Tabung Haji (TH) iaitu Tabung Haji Plantation (THP) dengan kerugian terkumpul sebanyak RM 1.24 bilion.

Utusan Malaysia juga melaporkan ulasan sumber dalam industri yang membekalkan maklumat kepada akhbar tersebut bahawa untuk menangani masalah kerugian THP itu, mereka mempunyai tiga pilihan.

Pilihan pertama: terbitkan saham. Pilihan kedua: buat tambahan pinjaman. Pilihan ketiga: jual aset bagi tampung kerugian dan bebanan hutang.

Pilihan pertama dan kedua adalah sangat sukar dan bakal menambah masalah sedia ada. Maka yang mampu dilakukan dengan cepat adalah menjual aset yang ‘sakit’ atau gagal membawa keuntungan.

Masalah terbesar yang sukar difahami orang awam adalah bagaimana THP menjadi rugi dan mempunyai beban hutang yang besar sehingga terpaksa menjual aset?

Penjualan aset hanya berlaku tatkala THP tidak mampu lagi menanggung kerugian yang berlarutan dan kerugian itu menjadi semakin teruk.

Contoh saya berikan berdasarkan kenyataan media yang diterbitkan sendiri oleh THP pada November 2019 tentang sebab kenapa pemilikan tanah melalui dua syarikat terpaksa dilupuskan atau dijual. Dua syarikat itu adalah Bumi Suria Ventures Sdn. Bhd. dan Maju Warisanmas Sdn Bhd.

Dua syarikat itu dibeli pada 2013 oleh THP pada kos RM 264.2 juta. Pembelian dua syarikat itu adalah bagi mendapatkan tanah yang dimiliki kedua-dua syarikat ini di Sarawak seluas 6,513.8 hektar. Tanah itu berada di Sibu dan Bintulu, Sarawak yang mempunyai penanaman kelapa sawit.

Pada 2012, panel bebas penilai tanah telah mentaksirkan bahawa daripada 6,513.8 hektar, hanya 5,700 hektar boleh ditebus guna atau tanahnya boleh dibuat pertanian. Ini bermaksud, seluas 813.8 hektar tidak boleh digunakan bagi tujuan pertanian.

Namun, pada November 2018, hasil tinjauan udara, untuk menilai semula keluasan tanah sebenar, didapati hanya 4,842 hektar sahaja yang boleh ditebus guna untuk pertanian. Ini bermakna, tanah seluas 6,513.8 hektar yang dibeli oleh THP pada 2012, seluas 1,671.8 hektar TIDAK BOLEH digunakan untuk bercucuk tanam.

Oleh yang demikian, penilaian harga tanah itu telah jatuh menjunam dari harga kos belian iaitu RM 264.2 juta kepada harga penilaian hujung 2018 hanya RM 183.9 juta sahaja atau RM 11,425 per ekar. Ini bermaksud, THP telah kerugian RM 80.3 juta.

Selama empat tahun bermula 2014, tanah yang dibeli itu mengeluarkan hasil. THP membuat unjuran/jangkaan hasil yang boleh diterima.

Sebagai contoh pada 2014, THP menjangkakan hasil yang boleh didapatkan adalah 67,990 metrik tan. Tetapi setelah dituai hasil, hanya 27,605 metrik tan sahaja atau hanya 40.6 peratus sahaja yang mampu dicapai dari jangkaan/unjuran asal yang dibuat oleh THP.

Hasil kelapa sawit dari tanah itu merudum paling teruk pada 2016 apabila unjuran hasil yang dibuat adalah sebanyak 121,890 metrik tan tetapi hasil yang benar-benar dituai hanya 24,841 metrik tan sahaja. Itu bermaksud, hanya 20.4 peratus sahaja yang mampu dicapai pada 2016 dari unjuran yang dibuat.

Disebabkan pencapaian dua syarikat itu yang sangat teruk, THP terpaksa terus menyuntik dana bagi memastikan operasi syarikat yang dibeli dengan harga RM 80.3 juta lebih mahal dari harga yang sepatutnya.

Oleh kerana ketidakmampuan THP untuk terus menanggung kerugian, pada awal Disember 2019, THP mengumumkan penjualan dua syarikat itu kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd pada harga RM 170 juta, RM 13.9 juta lebih murah dari harga yang dinilai pada akhir 2018.

Kenapa dijual kepada Tamaco? Kenapa lebih murah? Saya dimaklumkan, sungguhpun telah dua kali tawaran penjualan dua syarikat itu dibuat, tidak banyak syarikat yang berminat melainkan Tamaco Plantation Sdn. Bhd. kerana faktor lokasi, status tanah yang pelbagai dan boikot EU terhadap hasil minyak sawit.

Usaha pembelian itu dimulakan pada 2012 dan dimuktamadkan pada tahun berikutnya. PH hanya mendapat kuasa pertengahan 2018.

Cuba tanya diri kita sendiri, siapa penyamun dan penyangak yang melakukan semua itu dan membiarkan semua itu terus berlaku? Dan kemudian, pihak yang ingin menyelamatkan pula dituduh mengancam Melayu-Islam?