Malaysia Dateline

Siapa perosak Felda?

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, beliau amat sedih dengan pendedahan Berita Harian dan pengakuan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad, mengenai isu ‘ Felda hilang tanah di Jalan Semarak’.

Kata beliau, sejak tahun 2014, ura-ura cerita Wisma Felda di Jalan Semarak mahu dibangunkan, beliau telah membantahnya.

“Menara Felda setinggi 50 tingkat dengan kos hampir 1 bilion yang dibangunkan oleh Naza TTDI Sdn Bhd di Platinum Park, mercu tanda Felda sedia dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ertinya, tiada keperluan pada ketika ini untuk melepaskan kepentingan atas tanah umpama emas bernilai RM1,200 sekaki persegi di Jalan Semarak. Diberi kepada syarikat luar yang tiada apa-apa kepentingan dengan Felda.

“Bahkan, latar belakang syarikat dan individu berkaitan diragui,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, seperti juga isu penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, bantahan beliau bersama Anak diperlekeh.

“Saya maklum, diketika bebanan kewangan Felda yang serius, mana mungkin Felda mampu untuk membangunkan projek mega di atas tanah Jalan Semarak, melainkan diserahkan pada pihak lain.

“Ternyata, apa yang dibimbangi mengenai kemungkinan tanah di Jalan Semarak terlepas kepada pihak lain, telah menjadi kenyataan.

“YAB Perdana Menteri dan Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri di JPM, saya yakin tahu maklumat perancangan pembangunan tanah di Jalan Semarak.

“Tan Sri Isa Samad adalah Pengerusi Felda dan Felda Investment Corporation (FIC) pada waktu itu. Dato’ Faizoull Ahmad, adalah Pengarah Besar Felda, juga Ahli Lembaga Pengarah. Sebahagian Ahli Lembaga Pengarah Felda ketika ini, adalah orang yang sama terlibat ‘menganugerahkan’ tanah di Jalan Semarak untuk dimajukan,” kata beliau lagi.

Jelas Mazlan, dakwaan penipuan dan pecah amanah yang dikaitkan dengan tanah di Jalan Semarak boleh dielakkan, sekiranya YAB PM, Dato’ Razali Ibrahim, Ahli Lembaga Pengarah Felda menghalangnya daripada awal.

“Saya pun tidak pasti, apa peranan SPRM ke atas Felda, di bawah Plan Intergriti Felda-SPRM. Adakah SPRM terlepas pandang?

“Saya simpati dengan Tan Sri Shahrir Abd Samad yang bertanggungjawab mencuci ‘najis’ yang ditinggalkan mereka yang terdahulu.

“Namun, jika beliau pelik dan hairan mengapa begitu mudah tanah milik Felda di Jalan Semarak itu boleh berpindah milik, beliau adalah sebahagian daripada anggota pentadbiran Kerajaan BN yang memerintah sejak sekian lama!

“Apa yang mampu beliau lakukan dalam kerangka sistem yang telah rosak?” sambungnya.

Kata Mazlan, beliau yakin kemungkinan Tan Sri Isa Samad akan di tahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Di sebalik tanggapan kita mengenai Tan Sri Isa Samad, Dato’ Sri Najib Tun Razak tidak boleh berlepas diri.

“Beliaulah yang melantik Isa Samad, meskipun dibantah banyak pihak.

“Konsep ‘pertanggungjawaban bersama’, dengan erti kata, tidak harus Isa Samad sahaja yang dipersalahkan.

Beliau memohon maaf kepada PM Najib namun katanya “anda bertanggungjawab atas malapetaka besar yang melanda Felda!”

“Perdana Menteri inilah yang mengungkapkan ‘ HARAM JADAH’ kepada peneroka yang menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia,” kata Mazlan.