Siapa salah yang berlanggar sama perempuan, reaksi lucu warganet saling tuding jari

Oleh ARIF ATAN

Babak pelanggaran kecil melibatkan dua kereta merah yang sedang mengundur dari petak parkir dengan kedua-dua pemandunya adalah perempuan mengundang jenaka netizen.

Reaksi lucu warganet muncul apabila mereka saling tuding jari dengan seboleh mungkin meletakkan kesalahan kepada pihak lain khususnya lelaki.

Tambah lawak apabila lelaki yang meninggalkan komen juga dilihat seboleh mungkin tidak mahu menyalahkan kedua-dua pemandu wanita berkenaan.

Rakaman video berdurasi hampir 40 saat itu memaparkan kedua-dua pemandu wanita terbabit keluar dari kereta selepas terkena bahagian belakang kenderaan masing-masing.

Mengikut rakaman menerusi kamera perakam video (dashcam) yang tular di media sosial, insiden ‘menghairankan’ itu berlaku petang semalam.

Justeru, ada kalangan warganet wanita secara berseloroh menyalahkan perakam video kerana tidak membunyikan hon terlebih dahulu bagi mengelak insiden itu berlaku.

“Salah yang rekod video, tak hon, 😆,” kata Siti Zaharah Jamaludin.

Tidak kurang juga yang menyalahkan pihak berwajib yang sepatutnya melebarkan jalan.

“Perempuan tak pernah salah. Yang salah jalan tu. Mohon pihak berwajib kaji dan lebar lagi jalan,” ujar Mohamad Nikmat pula.

Dalam masa sama, terdapat juga mereka yang tiba-tiba pula mengaku diri sendiri yang bersalah.

“Aku yang rasa bersalah ni sebab dok ulang tengok banyak kali. Banyak kalilah si dua ketul ni (kereta)berlanggar,🤣🤪” komen seorang pengguna Facebook.

Selain itu, warganet turut cuba memecahkan ‘misteri’ bagaimana insiden ‘cium’ belakang kereta itu boleh berlaku.

“Dia (pemandu) tengok cermin sisi dan pandang belakang tu ingatkan bayang kereta masing-masing agaknya sebab warna sama,” teka Muhammad Nur Syafiq Syafiq.

Baca juga Kereta dilanggar belakang ketika Hari Raya ‘mengejut’, jangan maki hamun, ikuti 14 tips apa patut dibuat

Baca juga Cara mudah untuk elakkan kereta bahang semasa waktu panas terik