Siapa sebenarnya ‘Malaysian Official 1’?

Siapa sebenarnya ‘Malaysian Official 1’?

Sejak Khamis lalu, individu yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebagai “Malaysian Official 1” menjadi hangat di media sosial.

Terkait dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencecah lebih AS$3.5 bilion itu, nama Malaysian Official 1 disebut sebanyak 32 kali dalam dokumen saman tersebut.

Karikatur Zunar yang pernah didakwa Akta Hasutan dalam karyanya melukis poster ‘Wanted!’ (‘Dikehendaki!’) berserta imej Najib Razak dengan catatan, “Kes $3,500,000,000.

Satu karikaturnya yang lain berupa tangan tertulis “FBI” sedang menatang bekas yang di atasnya terdapat empat dokumen tertera nama “Riza” (Riza Shahriz Abdul Aziz iaitu anak tiri Najib Razak); “Jholow” (Low Taek Jho); “Najib” dan “Rosmah”.

Dilihat susunan objek itu sedang jatuh bertindih seperti kesan domino, kelihatan imej dua pegawai mewakili pihak berkuasa cuba melarikan diri.

Sementara itu, pengguna Facebook juga dilihat kreatif dalam mengkritik penyeleweng dana 1MDB yang menyaksikan wujudnya aktiviti pengubahan wang haram.

Adrian Lim Chee En dalam posting beliau di media sosial itu semalam, memegang plakad berbunyi, “Saya BUKAN Malaysian Official 1”.

Dilihat secara sinis bertanyakan siapa sebenarnya individu ‘misteri’ disebut oleh Amerika itu, plakad putih tersebut juga menyenaraikan Malaysian Official 1 mendapat “$681j (RM2.6 bil)”, “saudara Riza Aziz” dan “berjawatan tinggi dalam kerajaan”.

Sindiran terhadap Malaysian Official 1 juga disuarakan Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), Akmal Nasir dalam akaun Facebook miliknya, kelmarin.

Beliau yang tahun lalu disaman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ekoran kontroversi dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menulis ringkas, “Masih lagi nak pertahankan (?)”.

Pada masa sama, Akmal menyertakan lampiran imej berupa surat kepada Malaysian Official 1 dengan ungkapan, “Paham-pahamlah untuk letak jawatan.”

TAGS