‘Siapa suruh masa kempen PRU lepas kutuk parti lawan sampai tak ingat dunia?’

Oleh ARIF ATAN

Siapa suruh masa PRU lepas anda kutuk parti lawan sampai tak ingat dunia? Penyamunlah, pengkhianatlah, komunislah, LGBT lah.

Sekarang, bila nak tubuh kerajaan tapi majoriti tak cukup, dah nak kena kerjasama dengan blok lain yang dikutuk-kutuk tu.

Sebenarnya, situasi macam ni bagus. Sebab, inilah kali pertama dalam sejarah negara Parlimen tergantung.

Tiada blok yang boleh tubuh kerajaan melainkan kerjasama dengan blok lain. Ini kali pertama di negara kita, tapi biasa berlaku di negara lain. Jadi, solusinya ‘kerjasama’.

Sama ada PN + BN, PN + PH, PH + BN semuanya berkemungkinan untuk membolehkan kerajaan ditubuhkan.

Cumanya, naratif yang akan dimainkan dalam media sosial sekarang ini bergantung kepada kerjasama mana yang berjaya.

Kalau BN pilih PN, penyokong PH akan kutuk-kutuk kata PN kena ‘jilat ludah’. Kalau BN pilih PH, penyokong PN akan kata PH ‘jilat ludah’.

Kalau PN pilih PH, penyokong BN akan kata PN ‘jilat ludah’. Pusing-pusing begitulah kesudahannya.

Hal ini yang kita nak kena ubah. Pilihan raya sepatutnya pentas untuk parti politik yakinkan pengundi dengan manifesto dan idea yang hendak ditawarkan. Bukan tabur fitnah atau main sentimen bangsa dan agama.

Disebabkan politik kepartian, bermusuhan bagai nak gila sampai putus sahabat dan porak peranda dalam keluarga. Makanya, bersederhanalah dalam berpolitik.

Satu hari nanti bila kita ditimpa kesusahan, belum tentu yang kita sokong tu nak bantu kita. Kalau berlaku kemalangan ke atas diri kita atau ahli keluarga kita, entah darah siapa yang akan masuk dalam badan kita.

Darah Cina kafir harbi DAP ke, darah walaun Pas ke, darah macai BN ke, darah calon Pejuang bertanding hilang deposit ke, kita pun tak tahu, tapi mungkin puak yang kita benci itulah yang menyelamatkan nyawa.

Macam situasi sekarang, ‘darah’ parti lawan yang dikutuk dan dikeji itu jugalah yang akhirnya diperlukan untuk selamatkan ‘nyawa’ negara.

Set dalam kepala masing-masing, politik itu bukan akidah. Nak sokong dan undi PH, PN atau BN adalah hak setiap warganegara dan tidak perlu kecam atau ‘menerakakan’ apa pilihan mereka. Dalam politik tiada mana-mana pihak yang ‘Islamik’ dan ‘tak Islamik’.

Sebenarnya, politik adalah soal mentadbir negara, macam mana kerajaan yang terbentuk itu mampu meraikan keadilan, menjaga kebajikan, memenuhi hak asasi, menjaga alam sekitar, membangun ekonomi, mementingkan pendidikan, mencegah rasuah, menolak penyelewengan, menjauhi salah guna kuasa dan sebagainya.

Nouman Ali Khan ketika ditanya mengenai situasi politik di Malaysia menjelang pilihan raya di mana ada pihak yang mengaku memperjuangkan Islam, jawapannya begini:

“Tugas anda sebagai rakyat adalah untuk melihat apa yang terbaik untuk seluruh rakyat, bukan untuk masyarakat Muslim sahaja dan melihat calon mana yang terbaik untuk negara.

“Apa yang terbaik untuk Islam, tidak sama dengan apa yang terbaik untuk negara. Kita lihat Islam dari atas ke bawah, bukan bawah ke atas.

“Anda boleh ada kerajaan yang Islamik, tapi masyarakatnya tidak. Jadi, ia masih tidak memberi apa-apa makna kepada Allah Azza wa jal.

“Jadi, saya rasa kita ini terlebih ‘berpolitik Islam’ dan saya tak rasa ianya perkara yang betul. Apabila dalam politik, agama kita menegaskan asasnya adalah prinsip.

“Keadilan, ketelusan, menjaga hak orang lain dan ia sebenarnya bukan tentang pelaksanaan seperti kita akan tutup semua kedai pada bulan Ramadan, atau pastikan semua yang tidak bertudung memakainya, atau kita bakar semua kedai arak.

“Bila perkara seperti itu berlaku dalam sejarah umat Islam? Kajilah empayar Islam di Granada, di Andalusia, mereka berbilang kaum, berbilang agama, masyarakat terbuka, mereka hidup secara Islam dan mereka berjaya.

“Kita sekarang ini, sesetengah orang yang mengaku Islam pada hari ini jauh lebih ekstrem berbanding dengan umat Islam terdahulu dalam sejarah, kita sudah terlebih ekstrem.

“Jadi, kita sebenarnya perlu memahami dengan lebih baik tentang sejarah kita, tetapi itu tidak berlaku. Kita perlu faham dengan lebih baik tentang bagaimana Islam dan politik itu ditafsirkan.

“Kita rasa Islam dan politik itu digabungkan dalam semua keadaan, tapi ia tidak. Ada banyak bahagian dalam hidup kita yang Allah biarkan kita untuk membuat pilihan.

“Contohnya, saya yang tinggal di Amerika, apabila mengundi saya bukannya hilang akal. Tapi saya tak akan buat pilihan sebagai seorang Muslim, saya perlu buat pilihan sebagai seorang warganegara.

“Pilihan saya bukanlah pilihan yang Islamik, ianya adalah pilihan daripada logik akal (common sense) saya. Sama juga seperti anda, anda tidak membuat pilihan yang Islamik atau tidak Islamik, anda hanya menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai warganegara berdasarkan maklumat yang ada terima.

“Jadi, saya rasa Islam tidak sepatutnya diheret ke dalam keadaan ini dan penyudahnya ia hanya menghasilkan keadaan huru-hara.”

Oleh yang demikian, saya doakan satu hari nanti iklim politik kita akan mencapai tahap rakyat akan memilih parti mana yang mampu menawarkan idea dan solusi terbaik untuk membangunkan negara.

Bukan lagi termakan dengan momokan kristianisasi, komunis, yahudi, islamisasi, negara bankrap atau segala sentimen bodoh yang dijaja dalam media sosial.

Elok saya sajalah jadi Perdana Menteri. Semua parti politik akan disatukan untuk bentuk kerajaan.

Baca juga ‘Ini kerajaan gabungan bukan kerajaan PH atau DAP’

Baca juga [VIDEO] “Abang pulak dance,” gelagat comel Hayder buat ramai netizen tak kering gusi