Malaysia Dateline

Siapa taja serangan terhadap Zahid dalam Umno?

Serangan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan besar kemungkinan ada penaja di belakang serangan ini.

Penaja ini adalah pihak yang mahukan Umno berpecah dan seterusnya mendapat manafaat dari perpecahan itu.

Aktivis politik, Jamzuri Ardani berpendapat, ada penaja di belakang serangan ini.

“Gerakan singkir Zahid di kalangan ahli-ahli Umno semakin aktif.

“Siapa yang taja?” tanya Jamzuri dalam posting di facebook beliau yang dipercayai menimbulkan persoalan baru dalam parti tertua di negara ini itu.

Yang pasti, sejak dipecat dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah pemimpin Umno yang paling galak menyerang Zahid.

Turut bersama menyerang Zahid adalah Setiausaha Akhbar beliau, Tun Faisal Ismail Aziz yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya.

Baru-baru ini tersebar sebuah tulisan yang menyenaraikan “30 dalil mengapa Zahid perlu letak jawatan sebagai Presiden Umno”.

Alasan pertama yang diberikan adalah Zahid berhadapan dengan 87 kes mahkamah.

Beliau juga didakwa sebagai ‘liabliti’ kepada Umno.

Dalil yang ketiga adalah didakwa 60% ahli Umno tidak menyokong Zahid dalam pemilihan Umno dan 27 lagi alasan yang diberikan kenapa Zahid perlu meletakkan jawatan.