Malaysia Dateline

Siapa Takiyuddin yang mahu memperlecehkan dekri Tuanku

Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah melalui kenyataan yang disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah berkenan mengeluar satu dekri yang antara lain menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Seperti ciapan Datuk Azalina Otman Said, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang menekankan bahawa dekri YDA dan Raja-Raja Pemerintah adalah merupakan suatu arahan yang tidak boleh dipertikaikan (petikan: The Royal decree is indisputable. The YDPA and Council of Rules unanimously agree that parliamentary Sovereignty guarantees good governance). Azalina meneruskan ciapannya “adakah kita berada dalam krisis perlembagaan.”

Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen) Takiyuddin Hassan gagal memahami isi kandung titah YDPA dan Raja-Raja Pemerintah agar Parlimen segera bersidang atau adakah beliau sangat tidak faham maksud yang terkandung di dalam dekri Tuanku?

Perkataan “Segera” menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PPRM), Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud “tidak berlengah-lengah lagi, cepat, gesa-gesa dan lekas-lekas dengan kata terbitannya pula bersegera, menyegerakan dan kesegeraan.”

Dalam bahasa inggeris perkataan segera menggunakan perkataan “IMMIDIATELY” bermaksud “at once” atau  “instantly” . Sekiranya seseorang berkata “I rang immediately for an ambulance” maka maksudnya segera memanggil ambulan bukan memanggilnya tiga bulan lagi atau September akan datang!

Begitulah tidak cerdiknya Menteri yang mewakili Pas yang bermain dengan kata-kata semata-mata untuk menyelamat kedudukan di puncak kekuasaan tanpa memperdulikan penderhakaannya kepada Seri Paduka Baginda YDPA dan Raja-Raja Pemerintah.

Dekri yang dikeluarkan bukan semata-mata mendengar pandangan kerajaan tetapi YDPA telah mendengar dengan teliti semua pandangan yang mewakili pimpinan parti-parti politik sebelum Baginda bersama Raja-Raja Pemerintah bersidang dan membuat keputusan TANPA berpihak, kekal berkecuali dan bebas daripada dilihat (perceived) kepada mana-mana individu atau kumpulan politik.

Baginda turut mendapat input dari Pegawai Kanan Kerajaan mengenai status Pandemik Covid-19.

Siapa Takiyuddin dalam urusan ini, yang nampaknya tidak mempunyai data raya (big data) dan maklumat yang mencukupi sepertimana Duli-duli Tuanku?

Sebagai memenuhi kewajipan sebagai YDPA dan Raja-Raja Pemerintah, keputusan dibuat berasaskan keperihatinan baginda semua mengenai nyawa dan kehidupan rakyat, program vaksinasi, program menangani wabak, capaian vaksin secara segera dan inklusif, kepanasan suhu politik, kepentingan ujudnya kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Kesemua maklumat ini dicanai dan disaring dengan teliti melalui percambahan fikiran yang sangat rapi ketika Raja-Raja Pemerintah bersidang.

Atas kesemua fakta-fakta inilah menjadi asas Duli-duli Baginda supaya tiada keperluan darurat melangkaui 1 Ogos 2021 dan Parlimen perlu SEGERA bersidang dengan SOP seperti yang diamalkan beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian penyakit.

Persidangan ini adalah sangat perlu bagi membentangkan, membahas, mendebatkan perkara berkaitan Ordinan Darurat, perbelanjaan dan bajet, strategi dan kaedah pelan keluar (exit plan) dari Covid-19.

Adakah Menteri dan kerajaan mahu menunggu sehingga September sehingga ribuan lagi nyawa akan terkorban serta rantaian wabak yang tidak putus-putus kerana kecetekan pendekatan masakini dan kerana tiada pelan yang mantap untuk keluar dari wabak ini?

Tambahan pula pelan pemulihan yang diluncurkan oleh Perdana Menteri tidak pernah dibentang di Parlimen sebagai institusi tertinggi menurut perlembagaan, dan kita rakyat tidak tahu kekuatan pelan ini dan keboleh-laksanaan pelan tersebut kerana ia bersifat pandangan sepihak yang tidak pernah di bincangkan dengan semua pemegang taruh dalam proses demokrasi : Kerajaan dan Pembangkang!.

Pelan ini juga mempunyai banyak kelompongan dari sudut strategi, rangka-kerja dan apatah lagi misi dan visinya. Kelompongan ini akan membebankan rakyat dengan kemungkinan pembentukan gelombang pandemik seterusnya dan rantaian yang sukar pula untuk diputuskan di masa akan datang.

Timbul pula pimpinan yang menganggap sokongan dan dokongan supaya Parlimen bersidang segera seperti dekri YDPA dan Raja-Raja Pemerintah, telah dilabelkan sebagai ‘binatang politik’. Ini seperti kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman.

Alangkah cetek dan muflisnya otak dan budi pimpinan ini. Amatilah kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja seperti petikan dari perkara no. 8 dalam menegaskan Parlimen dan DUN segera bersidang; “…Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan dibeberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus covid-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai dinegara ini.”

Jadi , apa isunya sampai mem’binatang’kan seruan yang mahukan Parlimen bersidang segera sedang Tuanku amat arif dan faham keperluan segera bersidang dengan mengguna-pakai pengalaman serta SOP yang pernah digunakan di beberapa buah negara.

Parasit apakah yang telah menguasai otak pimpinan dayus dan muflis hati serta budi ini?

Akhirnya, patek merafak sembah menjunjung kasih kepada Duli-duli Tuanku. Sesungguhnya patek sebagai hamba rakyat gembira dengan dekri YDPA dan Raja-Raja Pemerintah dan semuga kami rakyat dilindungi dan dipayusngi sentiasa.

——————

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan dan pandangan ini hasil penelitian penulis dan bukan menggambarkan pendirian akademi.