Malaysia Dateline

Siapa yang akan bayar janji-janji pilihanraya?

Satu kekhilafan ramai ahli masyarakat ialah menganggap “kerajaan” adalah satu institusi asing dari mereka. Ini menyebabkan mereka tidak berasa marah apabila harta kerajaan disalahgunakan atau pun tidak berasa bimbang apabila hutang kerajaan bertambah.

Di dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023, dizahirkan bahawa hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan sudah meningkat kepada RM 1.420 trilion atau pun 82.9% dari keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara.

Ingatkah dahulu ramai yang berbalah berkenaan dengan kedudukan komitmen jaminan, hutang 1MDB dan liabiliti-liabiliti dari projek-projek PPP, PFI dan PBLT? Ada orang yang mati-mati menyatakan itu semua bukannya hutang. Oleh kerana kesemua ini akhirnya kena dibayar oleh kerajaan, Kementerian Kewangan sudah lama menyenaraikan kesemua ini di dalam senarai hutang kerajaan.

Malah, hutang lansung kerajaan sudah pun mencapai RM 1.045 trillion. Jika kerajaan terus berhutang seperti yang dianggarkan di dalam bajet 2023 yang dibentang pada haji Jumaat sebelum Parlimen dibubarkan pada hari Isnin, jumlah hutang ini akan bertambah lagi.

Jadi, apabila orang-orang politik berjanji untuk memberikan itu dan ini, adakah mereka akan menggunakan duit simpanan masing-masing untuk menunaikan janji-janji berkenaan kepada pengundi mereka? He, he. Akhirnya semuanya akan ditanggung oleh kita semua melalui dana kerajaan. Mereka janji, kita bayar.

Mungkin ada pengundi yang tidak membayar cukai. Jadi mereka berasa mereka terlepas. Mereka juga membayar cukai tidak lansung seperti cukai jualan. Setidak-tidaknya pun, mereka membayar dengan merasai kualiti perkhidmatan kerajaan yang merosot kualitinya. Contohnya, hospital yang sesak, tempoh menunggu perkhidmatan yang panjang, universiti yang diberikan bajet yang terhad. Ini semua kita tanggung beramai-ramai setiap hari. Cuma, kita mungkin tidak sedar sahaja.

Biasanya tok nenek akan mempusakakan harta yang bernilai kepada keturunan mereka. Jika kita main pangkah dengan tidak memperdulikan integriti dan kemampuan orang-orang yang berjanji, ada risiko kita akan menjadi tok nenek yang mewariskan hutang dan alam yang rosak kepada zuriat kita di masa hadapan.

Satu undi, apabila dikumpul, akan membolehkan kerajaan dibentuk. Merekalah yang akan menentukan masa hadapan kita. 5 tahun adalah tempoh yang cukup lama untuk negara dibawa ke arah yang salah.

Nota: Tersenarai di dalam Komitmen Jaminan yang berjumlah RM 199 bilion ialah sukuk Urusharta Jamaah yang bernilai RM 20 bilion tu,

Baca juga: Ini baru betul politik matang-Pakcik jentera PRU PH pungut bendera BN jatuh dalam longkang kemudian pacak semula

Baca juga: Misi mencari jodoh diteruskan, lelaki tertinggi di dunia kecewa tak dapat beristerikan wanita Rusia