Siapa yang keras kepala dalam isu Rimba Kiara?

Siapa yang keras kepala dalam isu Rimba Kiara?

Sebuah portal berita telah menyiarkan satu surat yang kononnya dari penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tinggal bersebelahan dengan Rimba Kiara, sebuah kawasan hijau di Kuala Lumpur.

Beliau membantah projek pembinaan lapan kondominium mewah untuk dijual dan sebuah apartment mampu milik untuk penduduk rumah panjang yang terletak di satu kawasan lapang bersebelahan dengan Rimba Kiara itu.

Projek ini telah menjadi isu utama di kawasan pilihan raya Segambut menjelang pilihan raya umum ke 14 dengan tema ‘Selamatkan Rimba Kiara’.

Bagi melihat dengan adil isu ini, mari kita kaji fakta isu ini dengan baik agar kita tidak menjadi keras kepala sebagaimana yang didakwa oleh penulis surat ini.

Pertama, projek ini diluluskan oleh kerajaan BN dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menterinya adalah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Ku Nan) ketika itu.

Ia diluluskan dengan keadaan DBKL terpaksa menukar status satu kawasan lapang kepada kawasan pembangunan bercampur dalam pelannya dimana perubahan ini turut dimasukkan dalam Pelan Struktur KL 2020 sebelum ini.

PELAN KL2020

Projek pembangunan di atas Taman Rimba Kiara telah ditandatangani pada zaman Ku Nan lagi, kenapa Khalid pula yang dikatakan keras kepala.

Pelan Struktur KL 2020 ini digazetkan pada 1 Nov 2018 supaya tidak berlaku lagi pelanggaran terhadap pembangunan terancang yang termaktub dalam pelan tersebut.

Jadi yang meluluskan projek ini adalah Ku Nan bukannya Khalid Samad yang hanya baru mengambil alih jawatan selepas PRU 14 lalu.

Jadi Khalid datang kemudian selepas ia telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini. Saya yakin kalau Khalid Samad adalah menteri pada 2012 dulu, dia takkan luluskan projek ini. Maka macamana penulis ini boleh menyatakan Khalid sama sahaja dengan Ku Nan?

Khalid terpaksa mewarisi projek ini yang telah diluluskan oleh Ku Nan dan sebagai menteri Khalid perlu tanganinya dengan cara yang terbaik.

Ia termasuklah mengurangkan impak negatifnya sambil mendapat apa-apa kesan positif yang sebanyak mungkin (termasuk rumah ganti secara percuma untuk penduduk rumah panjang yang berada di atas tanah ini)

Penulis berhujjah, Khalid keras kepala dan degil dalam isu ini. Sebenarnya siapa yang keras kepala? Penulis mendakwa perjanjian sebelum ini boleh dibatalkan kerana ia tidak sah dan ada unsur-unsur korupsi.

Tetapi terbukti, mahkamah pada 28 November telah membuat keputusan perjanjian dan kelulusan itu sah ketika SPRM masih belum membuat apa-apa keputusan mengenainya. Jadi siapa yang degil sebenarnya.

Jika terdapat unsur-unsur korupsi dalam transaksi tanah ini dahulu maka sewajarnya kita serah kepada siasatan pihak SPRM untuk menentukannya serta mendakwa pihak-pihak yang terlibat. Saya yakin Khalid tidak akan sesekali melindungi mana pihak yang terbukti bersalah.

Penulis juga meminta agar kerajaan dan DBKL membatalkan sahaja projek ini dengan membayar pampasan kepada pihak pemaju.

Untuk pengetahuan semua, pemaju telah menghabiskan wang sebanyak RM155 juta untuk projek ini. Mereka juga menjangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM3 bilion dari projek ini.

Adakah penulis dan penduduk TTDI yang terletak di bawah DBKL rela untuk DBKL membayar pampasan sekurang-kurangnya RM155 juta kepada pihak pemaju? Itupun kalau diambil kira wang yang telah dibelanjakan. Bagaimana pula kalau jangkaan untung oleh mereka diambil kira juga nanti?

Saya percaya penulis adalah rakyat KL yang membayar cukai kepada DBKL. Adakah mereka sanggup bayaran ratusan juta dibuat kepada pemaju sebagai pampasan jika ia dibatalkan? Sedangkan duit itu banyak gunanya untuk kebaikan warga KL sendiri jika ia tidak diberikan kepada pemaju ini.

Media melaporkan sebelum ini, Khalid Samad bercadang berunding semula dengan pemaju agar projek itu boleh dikecilkan dan kerosakannya dikurangkan. Ahli parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam sidang media bersama dengan Khalid pada 29 November juga telah memaklumkan, satu Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan bagi merundingkan hal ini.

Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah hampir 100 keluarga yang tinggal di rumah panjang yang setiap unitnya hanya bersais 400 kaki persegi tanpa bilik, di atas tanah ini. Mereka adalah rakyat Malaysia yang telah mendiami rumah itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Siapakah yang hendak membela mereka jika rumah untuk mereka tidak boleh disediakan? DBKL juga? Warga KL tentu akan kehilangan duit lagi.

Tuan-puan semua, tolonglah. Kalau tidak setuju pun dengan satu pandangan, janganlah nak buang telur, gunakan bahasa yang menghina dan sebagainya.

Kita tahu yang penulis menganggap dirinya pandai, tetapi hormatlah juga pandangan orang lain dan berhujjah dengan baik barulah orang lain akan bersetuju bahawa awak adalah orang yang pandai.

Kita yakin, sebagai menteri Khalid perlu mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak sebelum membuat apa-apa keputusan, bukan kepentingan politik semata-mata.

Antaranya penduduk di sekitar Rimba Kiara, penduduk rumah panjang yang tinggal di atas tanah itu sejak lebih 30 tahun yang lalu, pemaju yang telah membelanjakan RM155 juta untuk projek ini dan DBKL yang perlu menjaga kepentingan seluruh waga KL.

 

Azlan Che Mat,
Penduduk Kuala Lumpur juga