Siapa yang merampas Islam?

Siapa yang merampas Islam?

(Terjemahan artikel Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh Majalah Time bertajuk Who Hijacked Islam oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Rizal Jamin)

Buat pertama kalinya di dalam sejarah Islam di mana tindak-tanduk yang dilakukan oleh segelintir penganutnya telah mengakibatkan agama dan umat Islam secara amnya di pandang begitu hina dan jijik di mata masyarakat sejagat. Berjuta-juta penganut agama Islam yang melarikan diri dari negara asal mereka dan berhijrah ke Eropah dan Amerika Utara akibat desakan hidup dan penindasan di negara asal mereka kini telah menjadi sasaran kebencian dan dikategorikan sebagai kelompok yang berpotensi menjadi pengganas. Gerakan demokrasi yang masih baru bertapak di Negara Islam juga bakal terbantut untuk beberapa dekad yang mendatang, di mana pihak pemerintah yang memerintah secara autokrasi menggunakan alasan penglibatan kerajaan di dalam perang dunia menentang keganasan, untuk menakutkan pihak pembangkang yang pro-demokrasi.

Inilah yang telah dilakukan oleh Mohamed Atta, rakan pengganasnya dan pihak yang menaja mereka, terhadap imej Islam dan penganutnya melalui pembunuhan manusia yang tidak berdosa di World Trade Center dan Pentagon. Serangan ini bukan sahaja perlu dikutuk, malah ia perlu ditolak tanpa sebarang syarat dan alasan. Pihak berkuasa agama telah meluahkan kemarahan mereka melalui kenyataan keras yang mengutuk pembunuhan kejam tersebut.Segala usaha dan tindakan untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ini mestilah mendapat sokongan padu dari semua pihak.

Kita berasa agak hairan dengan kekeliruan yang yang dialami oleh masyarakat Islam yang memberikan reaksi yang berbeza terhadap Amerika Syarikat. Di Malaysia misalnya, media yang dikawal kerajaan telah dikerahkan untuk menyemarakkan sentimen Anti-Amerika, manakala golongan elit pemerintah menggunakan bahasa yang lebih diplomatik untuk tujuan tersebut. Sudah tentu terdapat sebab yang munasabah untuk kita menyatakan kekecewaan terhadap Amerika Syarikat terutamanya perkara yang berkaitan dengan nasib warga Palestin yang menghadapi Israel yang semakin bongkak namun ini bukan masanya untuk menempelak dasar luar Amerika Syarikat. Sekiranya Malaysia yang menjadi mangsa tragedi tersebut, sudah tentulah kita juga merasakan ia adalah reaksi yang tidak berperikemanusiaan.

Kita mesti bertanya kepada diri sendiri, bagaimana di abad ke-21, wujud manusia yang bernama Osama bin Laden dikalangan masyarakat Islam. Berbanding dengan abad-abad sebelumnya, di mana Islam menempa ketamadunan sejagat, kekayaan dan kemakmuran dikalangan umatnya membina pelbagai yayasan amal yang menyokong perkembangan universiti dan hospital, para putera raja bersaing untuk melahirkan ahli sains, ahli falsafah dan ilmuwan lainnya. Ahli Sains yang terulung pada zaman kegemilangan Islam, iaitu Ibnu Sina, adalah produk yang terhasil pada masa tersebut. Akan tetapi Bin Laden telah menggunakan kekayaannya untuk menaja keganasan dan pembunuhan, bukannya kreativiti dan keilmuan, juga menggalakkan kemusnahan dan bukannya penciptaan.

Bin Laden dan para pengikutnya adalah kelompok yang terdesak. Mereka datang dari negara di mana perjuangan politik dengan cara damai telah gagal. Di kebanyakkan negara Islam, perbezaan kepercayaan politik tidak dibenarkan dan ia dianggap sebagai melanggar undang-undang. Walau bagaimanapun, kita menyaksikan saban tahun terdapat peningkatan bilangan professional dan juga kelas menengah yang celik politik. Mereka ini bersikap terbuka di dalam menyatakan kecenderungan politik dan sosial di negara mereka. Namun malangnya perkembangan kelompok sivil ini terbantut akibat kekangan pihak penguasa.

Justeru umat Islam memberi perlu memberi perhatian terhadap pembangunan dalaman dari segi sosial dan politik, dengan lebih serius daripada sebelumnya. Pembangunan ekonomi semata-mata tidak memadai. Ketegangan pada dimensi sosial dan politik juga perlu diatasi. Orientasi yang betul mesti dibangunkan supaya masyarakat Islam berupaya untuk berinteraksi di pentas dunia. Penglibatan umat Islam di peringkat global juga mesti tidak boleh di monopoli hanya oleh pihak Kerajaan.

Perasaan ingin menguasai dan persepsi bahawa seluruh dunia adalah menentang mereka membuahkan kebencian di kalangan individu yang memilih keganasan sebagai jalan keluar. Kekeliruan dan kemarahan terhadap kuasa besar dunia semakin menebal apabila berlakunya campur tangan terhadap masalah yang dihadapi oleh dunia Islam khususnya kekacauan yang berlaku di Afghanistan akibat penaklukan oleh Soviet Union dan kemaraan pihak Taliban kemudiannya, dan juga penderitaan yang dialami oleh rakyat Iraq yang disebabkan oleh pemerintah diktatornya serta sekatan yang dikenakan kepada negara yang telah lama menderita.

*Di atas prinsip kebertanggungjawaban dan etika, masyarakat Islam akan menyokong sebarang inisiatif menentang keganasan secara global, namun terdapat persepsi di mana pihak kerajaan yang berkuasa di mana-mana akan menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan rejim mereka sekaligus member tamparan kepada pergerakan demokrasi. Presiden Rusia, Vladimir Putin akan menggunakannya untuk mempertahankan tindakan beliau terhadap pejuang Chechen, Israel pula akan mempertahankan tindakan keganasannya terhadap rakyat Palestin manakala di Malaysia pula penahanan tanpa perbicaraan.*

Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan kerajaan negara Islam untuk menjaga kepentingannya. Ini adalah difahami. Namun begitu, mereka tidak mempunyai semua jawapan terhadap isu keganasan. Perkembangan demokrasi, penglibatan di dalam aktiviti politik dan masyarakat sivil adalah penyelesaian yang kekal. Perhatian dan sokongan yang kurang diberi perhatian kepada perjuangan menegakkan sistem demokrasi dan hak-hak yang berkaitan dengan kemanusiaan akan hanya mengukuhkan rejim diktator yang bakal menyaksikan kembalinya era pemerintahan seperti Marcos,Suharto dan Shah Iran.

*Selama lebih 100 tahun, masyarakat Islam berdepan dengan cabaran dunia moden.Keperluan yang mendesak buat masa ini adalah untuk menanam sikap yang berorientasikan intelek dan politik yang memberi tumpuan kepada demokrasi dan keterbukaan. Para bijak pandai dan ahli politik mesti mempunyai keberanian untuk mengutuk sikap fanatik di dalam apa jua bentuk, namun di dalam masa yang sama mereka juga mesti mengutuk rejim yang menindas dan kejam yang menggagalkan harapan untuk perubahan secara aman.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum PKR yang sedang menjalani hukuman penjara.

CATEGORIES
TAGS