Malaysia Dateline

Siapa yang perlu diberi keutamaan, konvoi VIP atau ambulans? soal MP

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh tetap mempertikai keputusan memberhentikan ambulans di simpang jalan untuk memberikan laluan kepada rombongan perdana menteri yang ketika itu dalam lawatan ke lokasi banjir di Hulu Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu juga tertanya sama ada perdana menteri mempunyai urusan yang lagi mendesak berbanding ambulans dari kawasan terjejas kerana banjir.

“Siapa sebenarnya yang mempunyai ‘urgent duty’. Perdana menteri bersama konvoinya yang sudah pun mempunyai laluan yang tidak diganggu, atau ambulans kecil yang berada di kawasan banjir teruk?

“Pihak polis mempunyai kawalan ke atas laluan konvoi dari saat rombongan meninggalkan tempat permulaan mereka sehinggalah sampai ke destinasi. Tetapi ambulans tiada kemudahan itu melainkan dengan membunyikan siren.

“Siapa yang memerlukan lebih banyak bantuan trafik, VVIP atau ambulans kecil?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu video menyaksikan sebuah ambulans diberhentikan di simpang jalan untuk memberi laluan kepada konvoi perdana menteri yang ketika itu dalam perjalanan melawat proses pembersihan di kawasan dilanda banjir.

Justeru, PDRM dalam kenyataan medianya hari ini tampil menjelaskan bahawa tindakan memberhentikan ambulans di simpang jalan adalah bagi mengelakkan risiko kemalangan

Katanya, hal itu dilakukan memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.

Tindakan mengatasi trafik tersebut juga telah diambil oleh anggota trafik berkenaan, selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah Lalu Lintas No. 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.