Malaysia Dateline

Siapkan peluang pekerjaan, bukan pendidikan sahaja

Kerajaan disarankan supaya tidak hanya setakat menyediakan puluhan ribu peluang pendidikan pengajian tinggi di institusi pendidikan awam dan swasta, sebaliknya tidak menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka.

Malah lebih menyedihkan ramai antara yang telah tamat pengajian sehingga ke peringkat diploma dan ijazah masih lagi menjadi penganggur walaupun telah lama tamat pengajian mereka.

FAIZ HARIS

Demikian dinyatakan oleh aktivis pemuda negeri Perlis, Mohd Faiz Haris ketika ditemui.

“Bulan September dan Oktober nie dah mula ada kemasukan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara dengan peluang pendidikan yang pelbagai serta tawaran demi tawaran.

“Namun begitu kita amat mengharapkan agar kerajaan tidak hanya setakat membuka peluang untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sebaliknya menyediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada graduan lepasan universiti.

“Lebih menyedihkan terdapat graduan yang telah pun memiliki diploma dan ijazah, tetapi masih lagi menganggur sehingga sekarang, manakala mereka umpama menanti buah yang tidak akan gugur, mengharap dan terus menaruh harapan bagi mendapat peluang pekerjaan, ” tegas beliau.

Sejajar dengan itu tambahnya, tindakan drastik mesti diambil termasuklah membawa pelaburan luar ke dalam negara ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang kurang maju untuk dibangunkan bagi memberi peluang pekerjaan yang luas kepada lepasan universiti yang masih menganggur.