Malaysia Dateline

Siasat Azam Baki bukan untuk pastikan bersalah, tetapi bukti SPRM bebas salah laku

Rasuah dan Integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya berpisah tiada. Sebagai sebuah badan yang sepatutnya bebas, ia perlu benar-benar bebas pada roh dan jasadnya dan perlu pula ia kelihatan benar-benar bebas.

Bebas dari cengkaman kekuasaan politik, bebas dari manupulasi orang-orang politik dan bebas dari bersifat dwi-standard.

Azam Baki belum bersalah dan belum juga dibuktikan bersalah dari segi teknikal atau melakukan sebarang jenayah. Beliau juga belum benar-benar terbukti tidak bersalah atau sah kesalahannya, namun beliau juga belum boleh dikatakan suci dan benar.

“Polis tidak boleh menyiasat polis tehadap salah laku mereka. Begitu juga SPRM tidak boleh menyiasat dan memutuskan SPRM tidak melakukan kesalahan. Sama ada tuduhan itu bersifat fitnah ataupun dendam, semua itu perlu dibuktikan oleh sebuah badan yang benar-benar bebas”.

Selagi itu tidak dilakukan maka cemarnya nama Azam Baki akan terus-terusan diperkatakan. Lawan dan musuh akan terus mendendangkan pertuduhan terhadap beliau. Yang tercemarnya institusi seperti SPRM.

Penulis amat bersetuju dengan pandangan Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya seluruh kepimpinan SPRM disemak semula dan sebaiknya dirombak demi ketelusan dan keadilan.

Adalah amat tidak wajar sub-ordinat bagi seorang penjawat awam tertinggi dalam struktur SPRM yang seharusnya membudayakan ketelusan dan integriti, mempertahankan sesuatu dengan mengikut nada yang sangat sumbang dengan menyatakan tuduhan kepada bos mereka adalah bermotifkan politik.

Maka bermakna juga mengiyakan bahawa SPRM telah diserap dengan pencemaran oleh kuasa-kuasa politik di pihak lain supaya KP SPRM disuci bersihkan begitu sahaja.

Penulis amat bersetuju dengan Sahibus Samahah Datuk Mufti yang mengesyorkan pandangan supaya semua pucuk kepimpinan utama SPRM menegaskan tanpa perasaan takut dan memihak supaya satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi meneliti tohmahan atau tuduhan kepada ketua pesuruhjaya SPRM.

Iaitu tanpa memberikan pembelaan awal dalam hal yang dipertikaikan oleh majoriti dalam kalangan pelbagai pihak.

Begitu juga bagi perdana menteri supaya tidak terus menyahkan syor pelbagai pihak sama ada seteru atau sahabat politiknya supaya siasatan dijalankan oleh satu badan atau jawatankuasa yang benar-benar bebas.

PM tidak wajar mengambil pendekatan yang lemah dengan cubaan hanya untuk mengendurkan desakan awam supaya KP SPRM dihadapkan ke pengadilan.

Keadilan di sini bukan untuk memastikan beliau tidak bersalah tetapi untuk mengumpul dan menganalisis bukti
supaya SPRM bebas dari salah laku ataupun membuktikan semua fakta yang dikemukakan oleh wistleblower tidak benar, fitnah dan hanya mahu mencemar ketelusan SPRM.

Pedekatan selamat PM menunjukkan juga beliau lemah dan dikelilingi penasihat tempang yang merupakan sokong yang membawa rebah kepada beliau dan kerajaannya.

Maka, semangat keluarga Malaysia yang mengimpikan Malaysia yang lebih makmur, sejahtera dan menghormati keluruhan perlembagaan hanyalah retorik politik semata-mata.

Para agamawan juga harus bangkit membela keadilan, bukan agamawan bertopeng serban dan jubah namun ekor serbannya bergelumang tahi.

Jika dahulu menyatakan rasuah dan salah laku adalah penyakit kusta ke akar umbi dan najis mughallazah, kini
najis seolah-olah telah disucikan dengan belitan serban di kepala.

Seorang penceramah yang pernah terpelanting kerana panahan petir juga kelihatan membela, menyatakan bahawa usaha menjatuhkan ketua pesuruhjaya SPRM adalah usaha untuk menggoyahkan kekuatan badan ini dengan memperlihatkan supaya ia nampak keji dan kotor.

Namun, bagaimana pula dengan enam anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang tidak membela malah menafikan kenyataan pengerusinya yang bagi mereka hanya keputusan peribadi beliau.

Enam anggota LPPR turut mengemukakan syor bersama supaya kes ini dirujuk pada mana-mana panel atau jawatankuasa yang lain kerana LPPR menurut mereka tiada kuasa menyiasat.

Maka, kenyataan pengerusi LPPR sebenarnya batal dan tidak sah (Null and Void). Apatah lagi kenyataan penunggang agama yang tidak berpaksikan fakta, keadilan dan ketelusan siasatan, hanyalah kenyataan
penunggang-penunggang agama yang terpersona dengan kekuasaan yang sedang mereka kecapi.

Maka, bagi mengukuhkan SPRM dan membebaskankannya dari tohmahan sama ada kepada badan itu sendiri atau kepimpinannya, penubuhan satu jawatankuasa atau panel bebas adalah keutamaan bagi menyiasat dan mengemukakan dapatan mereka dan sebaiknya dibentang kepada Parlimen serta didedahkan kepada awam.

SPRM juga tidak harus lagi berada di bawah mana-mana entiti yang perpaksikan kekuasaan politik tetapi harus bebas dan dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Seperti mana Komisi Pembenterasan Korpsi Republik Indonesia (KPK) yang hanya dipertanggungjawabkan kepada publik dengan laporan disampaikan sacara terbuka dan kepada presiden, DPR dan BPK.

Namun dalam hal KPK Indonesia, presiden tiada kuasa langsung dalam mempengaruhi KPK dalam apa jua keputusan dan gerak kerjanya. Penulis amat bersetuju dengan Mufti Perlis supaya SPRM dan kepimpinannya disemak dan dirombak demi keutuhan dan keharmornian negara.


Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berperngkalan di Jordan.
Tulisan ini adalah pandangn penulis dan tidak menggambarkan pandangan akademi.