Malaysia Dateline

Siasat dakwaan EU sumbang lima juta dos vaksin, KJ jangan cuba tuding jari

Pemuda AMANAH Perak menggesa satu siasatan dibuat berhubung kenyataan Kesatuan Eropah (EU) yang mendakwa telah menyumbang lima juta dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, wujud kenyataan bercanggah dengan apa yang diperkatakan Khairy Jamaluddin apabila mendakwa beberapa negara Eropah membolot bekalan vaksin sehingga menyebabkan proses vaksinasi perlahan di Malaysia.

Beliau mengingatkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu agar tidak menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kelemahan kerajaan dalam mendapatkan bekalan vaksin secukupnya.

“Dengan berbilion ringgit telah diperuntukkan dalam PICK, seharusnya isu logistik dan bekalan vaksin seperti yang dibangkitkan oleh YBM Khairy Jamaluddin tidak harus timbul.

“Kerajaan juga sepatutnya sudah mempunyai perancangan yang jelas dalam aspek pemerolehan vaksin ini. Bukannya menuding jari kepada pihak lain apabila timbul sesuatu masalah.

“Dengan kes Covid-19 masih mencecah ribuan kes sehari,  PICK ini sepatutnya diperhebatkan lagi. Malangnya masih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpaksa ditutup atau tidak dibuka lagi akibat kekurangan bekalan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Terdahulu, Khairy dalam sidang akhbarnya mendedahkan ada beberapa buah negara Eropah yang memonopoli agihan sehingga mengakibatkan kadar vaksinasi di negara ini agak ketinggalan.

Bagaimanapun Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia menyangkal dakwaan tersebut dan menganggap tohmahan berkenaan tidak berasas sama sekali kerana apa yang berlaku membuktikan EU amat prihatin dalam isu itu.

Michalis Rokas berkata, sehingga 21 Jun sahaja, lebih lima juta dos telah disumbangkan EU kepada kerajaan Malaysia menerusi program Akses Sejagat Vaksin Covid-19 (Covax).

Sementara itu Mohd Ikhmal berkata, memandangkan PICK adalah program terpenting kerajaan, maka Pemuda AMANAH Perak memohon keprihatinan Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan Seksyen 14 Ordinan Darurat Kuasa Kuasa Perlu 2021 untuk memanggil segera Sidang Parlimen Khas dalam membincangkan isu Covid-19.

Jelasnya, jika pun sidang Parlimen itu nanti turut digunakan untuk menukar kerajaan, ia bukanlah satu perkara yang ganjil kerana Perdana Menteri Sweden dan Israel juga telah digulingkan melalui undi tidak percaya pada waktu pandemik Covid-19.

“Malah negara jiran kita Thailand juga pada Februari 2021 yang lalu telah membenarkan usul undi tidak percaya dikemukakan kepada Perdana Menteri mereka.

“Bagaimanapun mereka terselamat apabila undi tidak percaya itu ditolak oleh 272 Ahli Parlimen, sementara 206 menyokong.

“Dengan satu persatu kegagalan kerajaan PN diperlihatkan dalam pengurusan PICK ini, maka sudah sampai masanya Parlimen kembali berfungsi dalam mendapatkan kerajaan yang lebih stabil sekurang-kurangnya sebelum PRU15 nanti agar PICK dapat mencapai objektifnya membentuk imuniti kelompok,” katanya lagi.