Malaysia Dateline

Siasat dakwaan penjualan data peribadi 22 juta rakyat Malaysia

Pada 17 Mei 2022, dilaporkan bahawa data peribadi 22 juta rakyat Malaysia sedang dijual di atas talian dalam sebuah forum maya.

Menurut penjual tersebut, data peribadi itu adalah maklumat daripada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Data peribadi ini merangkumi, antara lain, nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat penuh dan juga gambar-gambar.

Pengerusi Biro Media Sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) Syahredzan Johan berkata, ini bukan kali pertama data peribadi rakyat Malaysia ditawarkan untuk dijual kepada umum.

Siasat dakwaan penjualan data peribadi 22 juta rakyat Malaysia
Syahredzan Johan

Bahkan katanya, pada bulan September tahun lepas, terdapat dakwaan berlakunya kebocoran data peribadi melibatkan 4 juta data yang terkandung dalam pangkalan data JPN dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Perkara ini sudah tentu akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan orang awam.

“Sekiranya benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data jabatan dan badan awam, ia merupakan suatu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius dan mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuk penipuan, kecurian identiti dan juga menjejaskan keselamatan negara.

“Ia menimbulkan sekali lagi persoalan tentang keselamatan dan integriti data dan maklumat yang disimpan dalam pangkalan data yang dikendalikan oleh badan-badan awam seperti JPN dan SPR,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan teliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat kebocoran maklumat.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan tidak boleh memandang enteng terhadap dakwaan-dakwaan seperti ini, kerana ia melibatkan keyakinan orang awam terhadap keselamatan data peribadi yang disimpan di pangkalan data badan-badan berkanun, jabatan serta agensi Kerajaan.

“Sistem keselamatan data bagi entiti seperti JPN dan SPR harus sentiasa dipertingkatkan untuk memastikan bahawa maklumat dan data yang disimpan adalah selamat.

“Untuk tujuan ini, Kerajaan juga digesa untuk menyemak semula keberkesanan sistem keselamatan bagi penyimpanan data peribadi rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Baca juga: Sangat mudah, guna kod QR pengguna Maybank MAE boleh keluar wang tanpa kad ATM