Siasat kerja-kerja haram Cambridge Analytica, gesa Patriot

Siasat kerja-kerja haram Cambridge Analytica, gesa Patriot

Kesal dengan pendedahan semasa, tuduhan, penafian serta ‘penafian atas penafian’ berhubung isu penambangan data haram dan kerja-kerja pemilihan oleh Cambridge Analytica dan kumpulan induknya SCL dalam kempen pilihan raya umum (PRU) lalu, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendesak pihak berkuasa memulakan siasatan segera.

Presidennya Brid Gen (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji berkata, dalam siaran media 21 Mac lalu, pihaknya menyatakan keyakinan bahawa operasi rahsia haram yang dilakukan Cambridge Analytica memiliki elemen-elemen pengintipan dan espionaj.

“Dalam pendedahan ‘British Channel 4 News’, ketua-ketua korporat utama Cambridge Analytica, sebuah firma analitik data besar, telah dirakam dan dengan bongkaknya menyatakan mereka boleh memeras ahli-ahli politik, menghantar wanita untuk memerangkap mereka dan membantu menyebarkan propaganda untuk menolong pelanggan mereka,” ujar beliau.

Laman web Cambridge Analytica dan berita Channel 4 juga, katanya mendedahkan syarikat tersebut telah melakukan kerja untuk parti-parti politik di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Menurut Arshad, usaha rahsia penambangan dan menggunakan data oleh Cambridge Analytica dari akaun Facebook adalah bertentangan dengan prinsip perlindungan data peribadi yang antaranya mensyaratkan persetujuan terlebih dahulu dari individu sebelum maklumat mereka diguna pakai.

Tindakan Cambridge Analytica ini, tegas beliau telah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi tahun 2010.

“Tindakan menggunakan wanita untuk memerangkap ahli-ahli politik boleh dilihat melalui sudut etika,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau memandang serius kegiatan gelap menggunakan propaganda untuk menyebarkan sebarang maklumat, dalam bentuk berita palsu melalui media sosial untuk menghasut emosi negatif bertujuan membenci, mengelirukan, memecah belah, dan menyebabkan ketidakharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

“(Ia) dalah kerja perisik untuk memusnahkan negara kita. Mana-mana parti politik tempatan yang bersekongkol dan bersubahat dengan kegiatan haram ini mestilah dikenakan tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya,” tegas Arshad.

Patriot mendapati penafian dan tuduhan terbaru ketua SCL Asia Tenggara, Azrin Zizal, sangat pelik.

“Sekiranya dia terlibat dalam kerja-kerja pengintipan semasa PRU13, dia mungkin akan menutup mulutnya dan tidak mengatakan bahawa dia telah melakukannya untuk Mukhriz Mahathir,” kata Arshad.

Kenyataan luar biasa Azrin memaklumkan bahawa dia dan syarikatnya mungkin bekerja untuk pihak tertentu termasuk pada PRU14, katanya perlu diberi perhatian serius.

“Sekiranya benar, aktiviti haram ini mesti dihentikan dan tindakan undang-undang diambil terhadap para pelaku dan rakan-rakan mereka,” tegasnya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS