Malaysia Dateline

Siasat Pandora Papers bantu pulih Indeks Peraturan Undang-undang Malaysia

Malaysia dalam indeks peraturan undang-undang global merosot 1.4% kepada 0.57, menduduki tempat 54 daripada 139 negara yang ditinjau dalam Indeks Peraturan Undang-Undang 2021 Projek Keadilan Dunia (WJP).

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, kemerosotan dalam kedudukan peraturan undang-undang Malaysia memerlukan keberanian untuk mengatakan kebenaran terhadap pihak berkuasa, terutama siasatan penuh mengenai aliran keluar dana haram yang melibatkan ahli politik yang terkenal dan masih aktif seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers.

Beliau berkata, penurunan prestasi Malaysia tidak akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur dan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti kerajaan untuk melindungi hak-hak asas perlembagaan bahawa setiap warganegara adalah sama di hadapan undang-undang dengan melindungi masyarakat daripada penyalahgunaan dan kuasa melampau oleh kerajaan.

“Malaysia boleh melakukannya untuk mengembalikan keyakinan masyarakat dan kedudukan kita dalam indeks peraturan undang-undang dengan bertindak dan menghukum mereka yang terlibat serta mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram daripada Malaysia dan bagaimana untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Berdasarkan dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Tabung Kewangan Dunia, kumpulan pemikir Global Financial Integrity (GFI) yang berpusat di Washington meletakkan Malaysia di tempat ketiga antara 147 negara dalam aliran keluar wang haram.

Menurut laporan 10 tahun terbaru oleh GFI yang bertajuk Aliran Wang Haram ke dan daripada 148 Negara Membangun: 2006-2015, Malaysia kerugian antara USD22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan USD33.7 bilion (RM138.66 bilion) dalam aliran keluar wang haram dari tahun 2006 hingga 2015.

Terdapat lebih daripada 330 ahli politik yang didedahkan oleh Pandora Papers daripada 90 negara, yang malangnya termasuk rakyat Malaysia yang terkenal.

Pandora Papers adalah sebahagian dari skandal aliran wang haram (IFF) yang didefinisikan oleh Global Integrity Report (GFI) sebagai dana yang diperoleh, dipindahkan, dan / atau digunakan secara haram di seberang luar sempadan antarabangsa. Dana itu datangnya daripada sumber kegiatan jenayah dan rasuah.

Setiausaha Agung DAP itu juga berkata walaupun mendapat tekanan daripada Ahli Parlimen pembangkang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan degil menolak untuk melakukan siasatan.

“Ini telah menimbulkan kemusykilan dan keraguan masyarakat mengenai kredibiliti SPRM dan juga mengiyakan kecurigaan bahawa SPRM akan menutup mata apabila ahli politik yang masih aktif dan menyokong kerajaan terlibat,” ujarnya.

Beliau kecewa apabila ahli politik yang biasanya lantang terhadap isu kaum dan agama yang melampau sehingga memusuhi kumpulan minoriti, telah diam membisu terhadap Kertas Pandora.

Bagaimanapun kata beliau kurangnya tindakan SPRM terhadap pengubahan wang haram oleh ahli politik pro-kerajaan, Bank Negara dilihat sebagai satu-satunya institusi yang tinggal yang dapat bertindak terhadap aliran keluar wang haram.

“Malangnya Bank Negara nampaknya seakan mengikut langkah SPRM dan terus berdiam diri terhadap skandal kewangan ini.

“Kerajaan Persekutuan perlu diingatkan bahawa lapan faktor yang digunakan dalam penilaian WJP menunjukkan kemerosotan keadaan peraturan undang-undang di Malaysia yang meliputi kekangan terhadap kuasa kerajaan, bebas rasuah, kerajaan terbuka, hak asasi, ketenteraman dan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil dan keadilan jenayah,” ujarnya lagi.