Malaysia Dateline

Siasat pelompat parti elak sebarang unsur rasuah, kata Aiman Athirah

 

Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi menggesa pemimpin yang menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas meninggalkan parti terdahulu disiasat daripada pelbagai segi.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) berkenaan berkata, penyertaan mereka dalam PH harus dipastikan tidak bermotifkan ganjaran.

“Saya mohon disiasat semua yang “melompat parti”. Adakah mereka dijanjikan sebarang ganjaran ataupun habuan? Tidak kiralah ganjaran atau habuan yang bagaimana atau peringkat mana.

“Dan tidak kiralah siapapun yang memberi tawaran atau habuan itu,” katanya dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Athirah yang juga Senator berkata, mereka terbabit perlu disiasat daripada segala sudut memandangkan prinsip PH sebelum ini yang tidak berkompromi dengan sebarang bentuk korupsi.

“PH perlu kekal memelihara prinsip integriti. Sekaligus secara tegas dan tuntas memerangi apa sahaja bentuk rasuah!” tegasnya lagi.