Siasat projek pincang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Siasat projek pincang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) menyeru Kementerian Pertahanan (Mindef) agar turut menjalankan audit dan siasatan penuh terhadap amalan perbelanjaan yang dilihat membazir di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, Competent mendapat laporan bahawa projek Kem Kongkoi milik UPNM yang dibina pada tahun 2014 dengan kos sebanyak RM 2.29 juta telah dibuat tanpa melalui proses perolehan yang sempurna.

Projek ini kata beliau, telah dimulakan oleh kontraktor tanpa proses sebutharga ataupun tender. Projek ini pula telah dipecah kecil menjadi enam projek yang merupakan satu kesalahan besar dalam etika perbelanjaan.

Kontrak hanya ditandatangani selepas projek diisytiharkan siap dan “Certificate of Practical Completion” (CPC) dikeluarkan, walaupun kualiti bangunannya tidak mengikut spesifikasi asal, kata beliau.

“Pengurusan yang teruk dalam projek pembinaan kem tersebut telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dan UPNM telah memberikan maklum balas bahawa mereka akan meminta jurutera profesional untuk memperbetulkan lukisan kejuruteraan agar sama dengan kualiti bangunan yang dihasilkan.

“Ini merupakan satu kesalahan di mana sepatutnya kontraktor disaman kerana tidak mengikut spesifikasi lukisan kejuruteraan yang telah ditetapkan, bukan sebaliknya.

“Pihak UPNM juga telah memberikan maklum balas kepada audit bahawa proses tender tidak dibuat kerana mereka inginkan pembinaan dijalankan secepat mungkin.

“Hasrat membina Kem Kongkoi telah dibincangkan di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) pada tahun 2013 dan 2014.

“Namun kenyataan ini menimbulkan keraguan kerana dokumen-dokumen minit mesyuarat LPU tahun 2013 dan 2014 tersebut hanya disahkan pada tahun 2015, setelah lebih setahun dan selepas projek ini ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara.” kata Wan Anwar dalam kenyataan medianya semalam.

Jelas beliau lagi, Competent turut mendapat laporan bahawa pensyarah-pensyarah berstatus kontrak di UPNM diberikan pakej gaji yang terlalu lumayan sehingga membebankan belanjawan tahunan.

Tambanya, dilaporkan bahawa RM60 juta digunakan untuk emolumen pensyarah berstatus kontrak sedangkan hanya RM30 juta diperuntukkan untuk membayar semua kakitangan berstatus tetap termasuk pensyarah dan staf sokongan.

“Amalan perbelanjaan sebegini adalah bertentangan dengan universiti awam lain yang mula mengurangkan bilangan staf kontrak sesuai dengan potongan peruntukan daripada kerajaan.

“UPNM perlu diberikan perhatian khusus oleh MINDEF dan Kementerian Pendidikan agar kebajikan para pelajar dan staf terjaga dengan baik,” kata beliau.

5.7
OVERALL SCORE
: 6.0
2 user votes x 5.5
CATEGORIES
TAGS