Malaysia Dateline

Siasat punca lompat parti, itu yang bermasalah

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13 Malaysia kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang menyatakan tidak boleh melakukan siasatan ke atas ahli politik yang lompat parti kerana ianya tidak menyalahi undang-undang negara ini.

FARIZ MUSA

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, apa yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador bahawa wujudnya unsur rasuah berkaitan ahli politik lompat parti, memerlukan SPRM menjalankan siasatan dan mendakwa mereka sekiranya wujud amalan korup.

“Apa yang dipertikaikan bukannya undang-undang yang melarang melompat parti, sebaliknya kita mahu siasatan dilakukan SPRM sekiranya wujud unsur-unsur rasuah sehingga begitu ramai orang politik yang sanggup menjadi katak dan lompat melompat parti.

“Seandainya Azam merujuk kes Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail bahawa tidak wujud pembayaran RM10 juta seperti didakwa oleh banyak pihak. Bagaimana sekiranya beliau bersetuju melompat parti dan berlakunya perbuatan lompat parti tersebut.

“Bagaimana pula dengan ahli-ahli politik lain yang melompat parti, apakah SPRM telah menyiasat akaun milik mereka dan keluarga bagi memastikan tiada wujudnya unsur-unsur rasuah sepertimana didakwa,” tegas beliau.

Sejajar dengan itu ujar Fariz, SPRM bertanggungjawab untuk melakukan siasatan kerana apa yang telah didedahkan oleh bekas KPN bukannya suatu omongan kosong, sebaliknya ketara dengan keberanian membuat pendedahan demi memastikan amalan korup disekat dari terus menjadi virus dalam kalangan politikus Malaysia.

Fariz juga berkata, amat dikesalkan sekiranya wujud sikap ‘double standard’ dalam isu ini semata-mata bagi melindungi perasuah berprofail tinggi sedangkan organisasi seperti SPRM diberi mandat dan diyakini oleh rakyat bagi membanteras unsur-unsur rasuah dalam negara.

Kata beliau lagi, lebih malang bagi rakyat negara ini seandainya wujud institusi penguatkuasaan rasuah yang cuba memanipulasi pendedahan dengan cuba menutup kebobrokan sedemikian.