Malaysia Dateline

Siasat segera dakwaan Abdul Hamid demi masa depan anak-anak

Angkatan Wanita AMANAH ( AWAN) Negeri Kelantan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat pendedahan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua AWAN Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, tindakan segera itu penting demi keselamatan dan masa depan generasi masa akan datang.

“Apalah gunanya peraturan dan pemisahan kuasa antara badan-badan dalam negara sebagaimana diperuntukan perlembagaan Malaysia, kalau campur tangan politik boleh mengatur segalanya.

“Sekaligus ini juga boleh menjejaskan keyakinan bukan sahaja rakyat tetapj juga pelabur asing terhadap keutuhan dan integriti negara,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya, dakwaan Abdul Hamid mengenai campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam urustadbir lantikan jawatan-jawatan tinggi PDRM dan pentadbiran Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) adalah perkara yang perlu diambil perhatian segera oleh pihak berkuasa.

“Sebagai ibu kita merasa sedih dan kecewa kerana perkara ini sekiranya benar-benar berlaku merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan melanggar batas amanah dan integriti yang dipertanggungjawabkan atasnya sebagai seorang menteri,” katanya sempena Hari Ibu.

Beliau dalam masa sama yang menyifatkan hari-hari sebenarnya adalah hari ibu juga mengimbas kembali ulang tahun genap tahun ketiga rakyat Malaysia sepakat bersuara menjatuhkan kerajaan kleptokrasi yang bobrok.

Tegas Dr Hafidzah, tiga tahun lalu di atas runtuhan itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memerintah Malaysia yang baharu.

“Namun, sejarah melakarkan kerajaan mandat rakyat ini bertahan hanya 22 bulan sebelum dikhianati dengan cara yang tidak demokratik.

“Antara peranan penting seorang ibu adalah mendidik anak-anaknya dan menanamkan nilai-nilai murni bagi membentuk warga Malaysia yang berintegriti,” tambahnya lagi.