Malaysia Dateline

Siasat segera dalang cetus kebencian terhadap pelarian Rohingya

Kerajaan harus menyiasat segera dalang yang cuba mencetuskan ketegangan serta kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya.

Demikian saranan yang dibuat oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurut beliau, adalah disyaki terdapat usaha sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan mencetuskan isu Rohingya seolah-olah Malaysia tidak lagi perlu bersimpati dengan nasib etnik Rohingya yang telah diketahui umum telah ditindas oleh regim Myanmar sejak 1947 di Arakan (Rakhine).

“Regim Myanmar sudah lama menuduh Rohingya bukan berasal dari Burma oleh regim Junta sejak 1962, malah istilah ‘kalar’ diberikan kepada Rohingya sebagai satu penghinaan.

‘Lebih mengecewakan apabila wujudnya sentimen puak nasionalis Buddhist Myanmar melaksanakan kempen membenci Muslim Rohingya atas nama Ma Ba Ta iaitu ideologi bahawa Myanmar hanya untuk Buddhist semata-mata dan usaha memberi imej buruk ke atas etnik Rohingya telahpun dilancarkan secara agresif mulai tahun 2012 lagi.

“Kempen tersebut terlalu rasis sehingga menggunakan kata-kata yang menghina Muslim sebagai ‘tikus yang terlalu tinggi kadar kelahirannya’ serta dasar aparteid mula dikuatkuasakan ke atas Muslim di seluruh Myanmar,” tegasnya.

Tambahnya lagi, Media Reuters pernah mendedahkan pada tahun 2018 terdapat lebih 1000 contoh posting komen dan imej lucah yang disiarkan dengan tujuan untuk menyerang etnik Rohingya dan komuniti Muslim melalui Facebook sehingga syarikat Facebook itu sendiri mengakui gagal membendung kempen kebencian tersebut yang menggunakan platform Facebook.

Beliau juga berkata, pada April 2018 pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menjelaskan kepada ahli Senator Amerika Syarikat bahawa tapak media sosial tersebut cuba memantau ucapan kebencian yang diposkan melalui Facebook di Myanmar dan kempen tersebut didapati semakin meruncing dan merbahaya.

“Pada Mac 2018, penyiasat PBB menyatakan bahawa Facebook telah digunakan untuk menghasut keganasan dan kebencian terhadap etnik minoriti Rohingya sehinggakan kedapatan posting iklan restoran mengenai makanan Rohingya pada 13 Disember 2013 yang berbunyi ‘we must fight them the way Hitler did the Jews, damn kalars!’ yang ditujukan kepada Rohingya.

‘Pos yang lebih dahsyat ialah rencana apabila berlaku serangan keatas balai polis Myanmar,maka dituduh militan Rohingya yang melakukannya dengan dakwaan’ these non-human kalar dogs, the Bengalis are killing and destroying our land, our water and our ethnic group’.

“Trend kecaman melampau ini sedang merebak di Malaysia melalui media sosial sehinggakan sentimen dan agenda tersebut disebarkan untuk menjadikan Rohingya sebagai sasaran penghapusan etnik dan genosid,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, adalah dibimbangi sentimen ini cuba disebarluaskan ke negara ini bagi mencetuskan ketegangan antara komuniti pelarian Rohingya dengan rakyat Malaysia, sedangkan pelarian Rohingya telah mulai datang ke Malaysia sejak 1982 apabila kerakyatan mereka dibatalkan oleh regim Junta Burma.

Persoalannya tegas Mohd Azmi, kenapa sejak 1982 sehingga waktu ini, rakyat Malaysia tidak pernah mempersoalkan hak kemanusiaan mereka, malahan rakyat negara ini memperlihatkan simpati yang amat mendalam terhadap komuniti Rohingya yang telahpun dilayan secara brutal sehinggakan ramai terpaksa melarikan diri ke negara lain seperti Malaysia.

Kata Mohd Azmi lagi, dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia sengaja menanggung beban menerima ratusan ribu pelarian Rohingya adalah tidak benar.