Siasat segera kehilangan RM22 juta dana Yayasan Tabung Haji

Siasat segera kehilangan RM22 juta dana Yayasan Tabung Haji

Siasatan terperinci dan tegas harus dilakukan segera mengenai kehilangan dana RM22 juta melibatkan Yayasan Tabung Haji (YTH).

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus ketika ditemui selepas merasmikan Konvesyen AMANAH Pulau Pinang kali ke-3 di Bayan Lepas semalam.

Jelas beliau lagi, sejak akhir 2016 lagi AMANAH telah dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dalam Tabung Haji (TH).

“Sejak akhir 2016, pimpinan AMANAH telah pun bertemu dengan Pengerusi TH dan juga Ketua Pegawai Eksekutifnya.

“Kita turut mempertikaikan mengenai ketidakstabilan yang wujud dalam organisasi tersebut tatkala itu serta kepincangan yang berlaku.

“Kini setelah didedahkan secara jelas, maka ia membuka ruang untuk dijalankan siasatan dengan segera serta mendapati adanya beberapa kecenderungan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah,” ujarnya lagi.

Malah katanya, kehilangan yang telah berjaya dikesan tersebut amat membimbangkan kerana ia membabitkan kepentingan organisasi yang telah mendapat kepercayaan umat Islam dalam negara ini.

“Yang lebih menakutkan ialah bukan sahaja jumlah yang besar sehingga melibatkan RM22 juta.

“Sebaliknya memindahkan wang TH kepada YTH serta digunakan untuk kepentingan politik amat mengecewakan.

“Saya optimis banyak lagi rahsia tersembunyi yang boleh dan telah pun diperolehi daripada pegawai TH secara tidak rasmi,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa didesak supaya segera menjalankan siasatan dengan segera dan tegas bagi memastikan dalang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.

Adalah difahamkan TH telah pun membuat laporan polis terhadap bekas Pengerusi TH serta pengurusan kanan organisasi tersebut pada Jumaat lalu.

Laporan tersebut juga mendakwa program YTH 2017 membabitkan RM22 juta telah disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.