Siasat segera status Hindraf 2.0, kata Presiden Persatuan Melayu P. Pinang

Siasat segera status Hindraf 2.0, kata Presiden Persatuan Melayu P. Pinang

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latif (gambar atas) meminta Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya menyiasat dengan segera status penubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) 2.0.

Menurut beliau lagi, siasatan ini perlu dilakukan dengan segera bagi membanteras sebarang usaha serta tindakan yang mampu menggugat ketenteraman awam.

Tambahnya, tuntutan Hindraf 2.0 yang menuntut supaya kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum dikecam oleh Pemenang.

“Tuntutan ini adalah amat biadap sekali dan tidak bertanggungjawab.

“Tindakan kumpulan tersebut sebagai salah satu usaha cuba membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

“Sepatutnya mereka faham konteks sosial yang telah dikecapi antara kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi,” jelasnya.

Beliau juga berkata, tuntutan sedemikian boleh mengundang perpecahan kaum dan menggugat ketenteraman awam.

“Pemenang mahu supaya pertubuhan ini segera disiasat bagi memastikan kesahihan penubuhannya.

“Seandainya ia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar maka, pendaftarannya dicadangkan supaya dibatalkan kerana ia tidak memanfaatkan rakyat dalam negara ini.

“Saranan ini perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh membangkitkan isu perkauman serta menimbulkan perpecahan kaum,” tegasnya.

Ujarnya lagi, sekiranya pertubuhan ini merupakan sebuah badan yang haram, maka tindakan tegas wajib diambil mengikut lunas undang-undang.

Malah katanya, penubuhan UiTM oleh kerajaan serta sokongan yang diberikan bukan bersifat rasis maupun perkauman, sebaliknya ia adalah bersandarkan kepada konteks sosial yang telah dipersetujui sebelum ini.

CATEGORIES