Siasat segera video cemarkan imej SPRM

Muhd Syazwan dan rakan-rakan membuat laporan polis meminta siasatan ke atas video yang libatkan pegawai kanan SPRM.

 

Pihak Polis seharusnya menyiasat dengan segera dakwaan skandal melibatkan pegawai utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepertimana yang tular secara meluas melalui media sosial baru-baru ini.

Malah, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan imej dan integriti SPRM tidak tercalar dan senantiasa terpelihara.

Demikian dinyatakan oleh Exco Armada Bersatu, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, Bukit Mertajam kelmarin.

Jelas beliau lagi, video yang telah tular tersebut turut mendakwa pegawai itu terlibat dalam satu skandal hubungan dengan isteri orang sehingga menyebabkan berlakunya perceraian dan keruntuhan rumahtangga.

Sehubungan itu ujarnya, laporan polis yang dibuat mendesak pihak polis agar segera menyiasat dakwaan tersebut bagi memastikan video yang tular itu benar dan sahih.

“Sekiranya apa yang didedahkan itu adalah benar, maka ia merupakan sesuatu yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

“Ia melibatkan hubungan sulit dengan isteri orang sehingga menyebabkan keruntuhan institusi keluarga wanita tersebut.

“Apa yang dibongkar ini secara tidak langsung akan memberi impak yang amat buruk, kerana individu yang terlibat merupakan ketua insitusi yang amat penting bagi mengekang rasuah dan korup, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, sebelum ini pegawai berkenaan sering bercakap mengenai integriti dan rasuah, sebaliknya ia amat berlainan dengan apa yang sedang berlaku.

“Pegawai tersebut acapkali bercakap dan memperkatakan mengenai integriti dan rasuah.

“Namun begitu seandainya benar beliau terpalit dalam isu ini, maka ia merupakan seorang yang tidak layak untuk menerajui SPRM.

“Oleh kerana itu siasatan yang segera, telus dan adil tanpa mengambil kira kedudukan beliau harus dilaksanakan, ” tambahnya lagi.

 

 

CATEGORIES
TAGS