Malaysia Dateline

Siasat semua ‘ikan bilis, ikan jerung’ di Yayasan dan Kerajaan Terengganu

AMANAH Terengganu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan menyeluruh yang lengkap sehingga ke peringkat tertinggi Yayasan Terengganu serta Kerajaan Negeri tidak mengira pangkat dan kedudukan.

Ini kerana menurut Pengerusi AMANAH Terengganu Senator Raja Bahrin Shah terlalu banyak contoh kes di mana hanya ‘ikan bilis’ yang menjalankan tugas atas arahan tidak bertulis atau bertulis pihak atasan menjadi sasaran siasatan dan hukuman.

Sementara itu, katanya mereka ‘ikan jerung’ dalam kalangan pihak atasan tidak disentuh dan terlepas bebas.

Seorang Pengarah Yayasan Terengganu di reman selama tujuh hari oleh SPRM untuk siasatan isu rasuah telah mengemparkan ramai pihak di Negeri Terengganu.

Sehubungan itu, Raja Bahrin berkata sebahagian majoriti besar pegawai kerajaan Terengganu, termasuk dalam Persatuan Pegawai Tadbir Terengganu yang merupakan individu sangat telus dan beramanah pula direman,

“Pihak yang direman ialah individu yang terkenal sangat telus dan beramanah dalam melaksanakan tugas dan susah untuk dikaitkan dalam isu rasuah. Saya sendiri mempunyai berpendapat yang sama.

“Ada masanya pegawai kerajaan tidak mungkin atau berani melaksanakan sesuatu tanpa arahan bertulis atau sekurangnya yang tidak bertulis. Siasatan dan hukuman mesti adil dan menyeluruh tidak memilih bulu atau melindungi mana mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes terdahulu, yang melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pernah melihat 2 orang pegawai kerajaan negeri dan persekutuan direman dan didakwa dan kemudiannya di bebaskan , sementara pihak tertinggi melibatkan ahli politik tidak ditahan atau direman pun untuk siasatan.

“Ini sebagai satu contoh bagaimana pegawai kerajaan, atau “ikan bilis” sahaja disasar dan pihak atasan tidak dikenakan tindakan yang sama di mana ramai pegawai kerajaan sangat tidak berpuas hati kenapa hanya mereka di sasarkan,” kata beliau.

Katanya, memandangkan wang berjumlah RM9 juta terlibat dan Yayasan Tetengganu di pengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu dan dua orang exco kanan negeri adalah ahli lembaga pengarah Yayasan, satu siasatan terperinci dan menyeluruh dari peringkat bawah sehingga teratas perlu dilaksanakan.

“Ini perlu untuk meyakinkan siasatan yang adil dan telus terlaksana. Rakyat ingin melihat ketelusan siasatan dan tiada pilih kasih berlaku di negeri diterajui oleh sebuah parti mendokong perjuangan Islam.

“Rakyat memerhati dan menunggu untuk siasatan yang adil dan saksama keatas semua pihak. Islam menuntut keadilan untuk semua, SPRM dan pihak kerajaan bertanggungjawab memastikan keadilan dalam siasatan menjadi keutamaan dalam siasatan ini,” katanya lagi.

Seorang pengarah sebuah yayasan di Terengganu direman selama tujuh hari kerana disyaki menerima suapan berkaitan usahasama bagi projek pengeluaran pelitup muka bernilai RM9 juta.

Perintah reman sehingga 30 Mac depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab [email protected] untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan menerima suapan daripada pengarah syarikat sebagai balasan mencadangkan pelaburan usahasama dengan syarikat tersebut untuk pengeluaran pelitup muka.