Siasat skandal NFC, teruskan projek fidlot, arahan pertama Menteri Pertanian

Saya telah meminta KSU agar kertas projek fidlot secara besar-besaran disiapkan segera, kata Salahudin.

Arahan pertama yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahudin Ayub adalah meminta kementeriannya menyiasat semula skandal National Feedlot Coorporation Sdn Bhd (NFC).

Ia dibuat ketika beliau bertemu dengan pegawai kanan kementerian termasuk Ketua Setiausaha kementerian pada hari pertama beliau bertugas iaitu Selasa, 22 Mei, sehari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan itu.

Dalam masa yang sama beliau juga telah mengarahkan agar projek penternakan lembu berskala besar sebagaimana idea awal projek itu diteruskan.

“Saya telah membuat arahan kepada Ketua Setiausaha Kementerian agar kes NFC dibuka semula. Itu janji kita dalam manisfeto.

“Dalam masa yang sama saya juga mengarah beliau agar projek penternakan lembu berskala besar sebagaimana idea awal NFC itu diteruskan.

“Saya telah meminta KSU agar kertas mengenainya disiapkan segera dan saya sendiri akan berusaha mendapatkan tanah di Negeri Sembilan dan Johor yang sesuai untuk projek ini,” kata Salahudin.

Bagi beliau, idea awal projek penternakan lembu fidlot berskala besar ini sangat bagus kerana ia diperlukan untuk memenuhi 30% permintaan daging tempatan oleh negara.

Namun yang tidak betulnya, kata beliau, apabila ia diselewengkan “dan ini yang perlu disiasat semula.”

Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2011 menyatakan keluarga menteri kebinet, Shahrizat Abdul Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar (2,023 hektar) di Gemas,Negeri Sembilan.

Namun begitu, projek itu tidak berjalan dengan baik sebagaimana yang sepatutnya sehingga menyebabkan Shahrizat terpaksa meletakkan jawatan menteri kabinet.

Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak agar skandal ini disiasat secara mendalam dan tindakan diambil terhadap mereka yang bersalah.

7.0
OVERALL SCORE
: 5.0
4 user votes x 7.5
CATEGORIES
TAGS