Malaysia Dateline

Siasat tindakan ganggu-gugat Adun Sabah, kata Shafie

Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap tindakan pihak tertentu yang mengganggu gugat ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Beliau juga berharap, pihak polis membuat siasatan terperinci bagi mengenal pasti siapa yang menghantar mereka, siapa yang menyuruh mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

“Saya difahamkan ada ADUN yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah. Kalau mahu masuk dalam rumah sekali pun, kena ada waran yang sah untuk mengetahui tujuannya. Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, ia sudah berulang kali dan ini menggangu gugat ketenteraman individu.

“Dikatakan ada orang jumpa Yang Berhomat (YB) kerajaan. Wakil siapa dia? Siapa dia yang jumpa YB itu adakah mereka ini mahu membentuk kerajaan atau mahu menjadi Ketua Menteri, mahu jadi kerajaan pemerintah. Saya yakin ada pihak lain dibelakang mereka ini,” katanya.

Katanya, negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan menggangu gugat ketenteraman wakil rakyat sehingga datang ke rumah mereka perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Keadaan ini boleh menjejaskan ketenteraman keadaa di peringkat negeri dan juga negara.

“Jika wakil rakyat itu redha untuk beralih sokongan, tiada masalah kerana kita juga tidak mahu memaksa. Macam Limus Jury dan James Ratib mahu masuk (parti pembangkang) masuklah, saya tidak paksa.

“Kita tidak mengugut orang itu amalan kita dalam mematuhi perjalanan undang-undang yang ada.

“Saya harap pihak berwajib membuat siasatan lanjut mengenai perkara ini dan kita mahu lihat apa penemuan mereka, ke arah mana dan siapa sebenarnya menyuruh mereka untuk membuat desakan seumpama ini.

“Saya tidak menafikan ada cubaan membeli ADUN namun, jika orang itu tidak mahu dibeli, cukup-cukuplah. Mereka ini bukan untuk dijual,” katanya.

Justeru, amalan membeli ADUN ini adalah amalan tidak sihat dan beliau yakin ADUN kerajaan cukup matang untuk membuat keputusan.

“Tapi, saya dengar yang melompat ini mahu u-turn juga. Tidak tahu betul atau tidak, ini cakap-cakap sahaja.

“Apa juga keadaan yang berlaku, biarkan kami mentadbir negeri dan mententeramkan rakyat di peringkat bawah yang sudah pun bingung berdepan dengan Covid-19, ini pula bingung dengan pelbagai tekanan.

“Saya akan bersuara dalam parlimen nanti kerana untuk bercakap di luar susah sikit, ada kekangan dan halangannya,” katanya.