Siasatan Amerika Syarikat terhadap 1MDB malukan negara

Siasatan Amerika Syarikat terhadap 1MDB malukan negara

Inisiatif Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyiasat dana yang diselewengkan, 1MDB amat memalukan negara memandangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak sering mempertahankan 1MDB dan melepaskan anak syarikat Kementerian Kewangan itu daripada sebarang kesalahan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun negara-negara lain seperti Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika Syarikat terus menyiasat kes 1MDB berdasarkan aktiviti-aktiviti penipuan yang dijalankan, kerajaan pimpinan Najib tetap menidakkan penyelewengan yang berlaku dan sehingga kini masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana individu, malah menutup kes ini.

“Semalam (kelmarin) merupakan hari yang sungguh bermakna di dalam sejarah negara kita dan dunia, kerana Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) sudah memfailkan satu kes ke atas beberapa individu yang berkait dengan 1MDB dalam satu inisiatif perolehan aset. Ini juga merupakan kes terbesar di dalam sejarah AS.

“Pegawai kerajaan AS menyatakan bahawa pegawai-pegawai 1MDB telah menggunakan dana pelaburan negara itu seperti akaun bank peribadi, dan rakyat Malaysia telah ditipu dalam skala yang begitu besar sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Ahli keluarga Najib sendiri iaitu Riza Aziz dan juga rakan karibnya, Jho Low telah dinamakan sebagai individu yang disiasat kerana dipercayai membeli aset di AS serta membiayai produksi filem Wolf of Wallstreet menggunakan dana yang diperolehi daripada 1MDB.

Siasatan yang bakal dilakukan Jabatan Keadilan AS ini, jelas Nik Nazmi sedikit sebanyak memberi harapan kepada negara yang telah dirompak oleh mereka yang diamanahkan untuk mentadbir.

“Setiap tuduhan yang dibuat, dan seringkali dinafikan oleh pihak berkuasa, bagaikan telah dibuktikan dengan jelas melalui tindakan ini.

“Sememangnya perkara ini masih belum jumpa penyelesaiannya, namun begitu apa yang jelas di sini adalah kerajaan wajib membuka semula penyiasatan terhadap kes ini, dan bertindak dengan jujur untuk membawa mereka yang bertanggung jawab terhadap skandal besar ini ke muka keadilan,” tegas beliau.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menuntut ahli kabinet sedia ada dan yang terdahulu supaya bertanggungjawab ke atas jenayah terbesar negara ini kerana sentiasa mempertahankan 1MDB.

Anggota kabinet Najib ini, katanya sedikit sebanyak bersekongkol sama ada dengan berdiam diri atau secara vokal menidakkan sebarang salah laku.

“Rakyat mestilah menuntut keadilan kerana kita bukan sahaja hilang duit berbilion, malah mereka yang tamak ini juga telah membebankan kita, anak-anak kita dan beberapa generasi akan datang dengan hutang melampau,” ujarnya.

Rakyat ujarnya, dipaksa membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dipotong peruntukan pendidikan dan kesihatan, membayar tol dan tambang kenderaan awam yang tinggi, malah menanggung kenaikan caj parkir awam akibat ketirisan dana awam.

COMMENTS

Wordpress (0)