Malaysia Dateline

Siasatan dakwaan Pas terima RM90 juta daripada 1MDB ambil masa, kata PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil masa untuk menyiasat dakwaan PAS menerima wang berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata suruhanjaya itu mungkin belum mendapat maklumat sepenuhnya berhubung kes itu.

“Kenyataan SPRM bahawa tiada sebarang wang RM90 juta daripada 1MDB yang dikesan dimasukkan ke dalam akaun rasmi PAS setakat ini, ia mungkin kerana SPRM belum dapat maklumat sepenuhnya…ia (siasatan) mengambil masa.

“Setakat ini banyak lagi pencurian duit oleh Najib (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) yang SPRM tidak punyai masa untuk selidik, jadi ini tidak bermakna Najib tidak curi, cuma tidak diselidik…kita tunggulah benar atau tidak (dakwaan),” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kilang Metrod Holdings Bhd di sini hari ini, yang turut dihadiri pengasasnya, Apurv Bagri dan pengerusi Metrod Holdings Datuk Abu Hassan Kendut.

Ketika mengesahkan perkara itu semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata hasil siasatan pihaknya sejak awal bulan ini mendapati tiada bukti transaksi yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, diminta mengulas kenyataannya semalam bahawa beliau tidak faham dengan sikap Pas yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sokongan daripada parti itu.

Ini kerana, kata perdana menteri, beliau mendapat sokongan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang jumlahnya lebih ramai di Dewan Rakyat.

“Saya perlukan sokongan lebih 50 peratus wakil rakyat, saya tidak perlu sokongan daripada PAS kerana PH sendiri mempunyai lebih daripada separuh kerusi dalam Dewan Rakyat. Sokongan itu sokongan daripada (parti) yang sudah pun menang bukan dari mereka yang nak kalah tetapi nak bagi menang.

“…tetapi kalau dia (PAS) nak sokong dia sokonglah, tak usahlah cakap pada saya dia sign surat konon nak sokong…tidak sebut nak sokong PH cuma nak sokong saya sahaja, tetapi saya bukan kerajaan, kerajaan mestilah PH,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan menemui Dr Mahathir di Putrajaya bagi menyatakan sokongan kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH.- BERNAMA