Siasatan di Singapura kaitkan 1MDB dengan SRC, Najib wajar bercuti

Siasatan di Singapura kaitkan 1MDB dengan SRC, Najib wajar bercuti

 Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bercuti sehingga siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International selesai.

Desakan itu dibuat ekoran laporan berita TodayOnline di Singapura yang memetik kenyataan Peguamcara Singapura, Quek Mean Luck  bahawa dakwaan terbaru terhadap Yeo Jiawei (pegawai bank yang mengendalikan urusan dana 1MDB di BSI Singapura) adalah berkaitan pemindahan wang melibatkan SRC International.

“Ini kali pertama satu bukti kukuh ditampilkan yang mengaitkan dana dari 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 1MDB yang mengambil hutang sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sebelum ia (SRC) dipindah milik kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Sebarang pindahan dana keluar masuk ke SRC International Sdn Bhd adalah sensitif kerana ada dana dari syarikat ini yang akhirnya dipindahkan masuk ke akaun peribadi perdana menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Perkembangan terbaru ini ujarnya, membabitkan pendakwaan terhadap pegawai bank yang berkemungkinan pernah menguruskan dana yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.

Ini mendedahkan Najib kepada spekulasi kerana hala tuju siasatan/pendakwaan yang diambil oleh kerajaan Singapura mengenai kes ini berkemungkinan ada kesan langsung dan tidak langsung kepada kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, untuk tidak mendedahkan Malaysia kepada sebarang risiko (berkaitan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura) yang mungkin timbul akibat kemungkinan pendakwaan ini, Rafizi mencadangkan dua perkara iaitu penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal 1MDB dan Najib perlu bercuti sehingga proses siasatan selesai.

“Datuk Seri Najib dan Jemaah Menteri perlu mengumumkan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat sepenuhnya skandal 1MDB dan membersihkan nama beliau. Prosiding Suruhanjaya Diraja ini perlulah dijalankan secara terbuka.

“Dan yang kedua Datuk Seri Najib mengambil cuti dari jawatan beliau sehinggalah siasatan/pendakwaan di Singapura selesai dan Suruhanjaya Diraja membentangkan laporannya kepada Parlimen,” ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Pandan ini lagi, skandal 1MDB kini mengambil dimensi baru apabila melibatkan kredibiliti Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara keseluruhan akibat risiko-risiko yang mungkin timbul berikutan pendakwaan di Singapura.

TAGS