Malaysia Dateline

Siasatan perjanjian gas Qatar mengundang risiko kepada Pakistan

Kerajaan baharu Pakistan yang kini sedang menjalankan siasatan korupsi keatas perjanjian import gas yang dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini dengan Qatar, berpotensi mengundang risiko kepada pentadbiran Perdana Menteri Imran Khan. Hal ini kerana Pakistan akan mengalami kekurangan sumber tenaga apabila ia masuk ke musim sejuk nanti, lapor Nikkei Asian Review.

Perjanjian yang bernilai 16 billion USD tersebut telah ditandatangani pada tahun 2016 ketika Pakistan dibawah kerajaan bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif. Di dalam perjanjian tersebut, Qatar akan mengeksport Gas Cecair Asli atau Liquefid Natural Gas (LNG) kepada Pakistan demi memenuhi permintaan pengguna domestik Pakistan.

Menurut beberapa pegawai eksekutif di syarikat-syarikat berkaitan, mereka bimbang tentang kesan daripada siasatan korupsi yang dijalankan oleh kerajaan Khan yang berpotensi untuk memberhentikan perjanjian tersebut buat sementara waktu sekaligus menurunkan keyakinan perniagaan dan menyebabkan kekurangan sumber tenaga dalam Pakistan.

“Idea untuk menyiasat perjanjian dengan Qatar ini adalah kerana tiada ketelusan dalam menandatangani perjanjian ini pada tahun 2016 dahulu,” jelas individu yang merupakan ketua kepada sebuah bank di Karachi.

“Malah, pada hari pertama lagi, terma-terma perjanjian tersebut tidak pernah didedahkan kepada masyarakat umum. Tetapi dengan hanya menjalankan siasatan dan mengancam untuk membatalkan perjanjian tersebut hanya akan menghantar mesej negatif kepada para pelabur,”.

Sektor perniagaan di Pakistan turut diperlahankan kerana menunggu keputusan perundingan diantara pihak kerajaan dan Kumpulan Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) demi mendapatkan bantuan kewangan sebanyak 7 bilion USD. Bantuan kewangan di dalam bentuk pinjaman ini diperlukan untuk mengelakkan krisis kewangan negara.

Kedua-dua pihak dijangka akan meneruskan perbincangan secara formal bermula bulan hadapan untuk memuktamadkan syarat-syarat bagi mendapatkan pinjaman tersebut.

Pihak IMF turut menggesa peningkatan kepada taarif elektrik dan gas untuk meningkatkan kedudukan fiskal kerajaan. Walaubagaimanapun, taarif yang tinggi akan membebankan rakyat Pakistan secara amnya dansekaligus menjadi cabaran besar kepada kerajaan Khan.

“Di Pakistan, terdapat beberapa tempat yang mengalami masalah kekurangan sumber tenaga,” kata seorang ahli perniagaan asing yang berpangkalan di Karachi.

“Jika kamu menghantar bil elektrif yang mahal kepada pengguna kerana itu apa yang IMF minta, ia akan mengundang tindakbalas yang negatif daripada masyarakat,”.

Menjalankan siasatan keatas perjanjian dengan Qatar adalah di antara janji-janji Perdana Menteri Khan untuk membanteras amalan korupsi, kata seorang ahli kabinet kanan kepada Nikkei Asian Review.

“Perdana Menteri Imran Khan menang di dalam pilihanraya dengan membawa tema untuk membina Pakistan yang bebas daripada amalan korupsi,” kata menteri itu.

“Rakyat Pakistan berhak untuk mengetahui setiap perincian perjanjian tersebut. Rakyat bertanya adakah perjanjian tersebut bersifat adil dan kami harus memberi jawapan kepada soalan tersebut,”.