Malaysia Dateline

Siasatan Projek Jiwa Murni tidak pernah ditamatkan, kata Mohamad

Kementerian Pertahanan tidak pernah menamatkan siasatan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dalam isu pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM).

Menterinya  Mohamad Sabu menjelaskan, ia masih dalam siasatan dan tidak sampai untuk dibawa ke pengetahuan umum melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Ia masih di dalam siasatan Tan Sri Ambrin (Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan), ia belum tamat lagi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira, semalam seperti dipetik Astroawani.

Persidangan meja bulat itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

 Sebelum ini, Astroawani melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penyelewengan satu projek menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak.

Menurut sumber, projek itu dikatakan tidak menepati piawaian selain gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor rasuah.

Jelasnya, projek melibatkan seorang penjawat awam bergelar Datuk Seri itu bermula pada tahun 2009 dan sepatutnya disiapkan pada 31 September 2011.

Pada tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, Tan Sri Ambrin Buang dilaporkan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan.

Ambrin berkata jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu itu memulakan tugas siasatan berkenaan atas permintaan Mohamad sendiri.

Jelasnya, siasatan jawatankuasa tersebut akan memberi fokus kepada kes-kes yang mencurigakan di mana-mana kementerian selain mengesyor langkah-langkah yang lebih baik bagi membasmi ketirisan wang negara.

Sebagai permulaan ujar Ambrin, jawatankuasa itu akan memulakan penyiasatan ke atas beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015,  lawatan audit mendapati kualiti kerja Pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM)  kurang memuaskan dan ada jalan yang tidak dibina bahu jalan serta longkang mengikut standard jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) disebabkan peruntukan tidak mencukupi.

Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai adalah dokumen yang bukan lagi diklasifikasikan sebagai sulit yang boleh dibaca oleh semua rakyat negara ini.