Siasatan rasuah bukan bermaksud sabit kesalahan rasuah, ajar Hanipa

Siasatan rasuah bukan bermaksud sabit kesalahan rasuah, ajar Hanipa

Tindakan beberapa pemimpin Pas yang berbangga dengan statistik yang dibentangkan di Dewan Rakyat berhubung siasatan rasuah membabitkan pemimpin parti politik dari BN dan Pakatan Harapan (PH) dianggap gagal memahami isu sebenar.

“Pak haji (pemimpin Pas) nak berbangga dengan statistik boleh tapi kena faham dulu isu sebenar. Jangan hentam keromo je pak haji,” tulis ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin di facebook (FB).

Menurut Hanipa, statistik yang dicanang pemimpin Pas itu adalah berkenaan kes rasuah yang disiasat dan didakwa dan bukannya kes rasuah yang disabitkan bersalah.

“Hatta jika bersalah sekalipun, orang itu masih ada hak untuk rayu lagi,” katanya mengulas tulisan ketua penerangan Pas Nasrudin Hasan yang berbangga kerana tiada seorang pun pemimpin parti itu yang disiasat atas dakwaan rasuah berbanding BN dan PH.

Nasrudin juga mendakwa pemimpin Pas ‘suci’ daripada rasuah berbanding parti lain yang terpalit dengan ‘najis’ rasuah.

Menurut Hanipa, dalam konteks negara ketiga seperti Malaysia, terdapat kes dakwaan rasuah yang tulen (genuine) dan tidak tulen (trump up charge) yang dipanggil sebagai pendakwaan terpilih (selective prosecution).

Ini katanya terbukti apabila ada ahli politik kerajaan yang terlibat amalan rasuah dengan bukti yang amat kuat (ironclad evidence) seperti isu ‘wang derma’ RM2.6 bilion dalam akaun peribadi tidak didakwa.

“Begitu juga mungkin ada ahli politik yang cenderung sokong rejim yang zalim akan selamat dari siasatan atau pendakwaan kes rasuah,” katanya sinis.

Di masa yang sama, ahli politik yang kuat melawan kerajaan lebih senang menjadi ‘sitting duck’ (sasaran yang mudah disiasat dan didakwa) dalam kes rasuah.

Sehubungan itu beliau menasihati pemimpin Pas agar tidak menggunakan hujah yang dianggapnya sebagai ‘sifar logik’.

Hanipa seterusnya mencabar pemimpin Pas supaya mengetengahkan skandal 1MDB jika konsisten memerangi rasuah.

Beliau turut menggesa pemimpin Pas yang rakaman audionya mengakui Pas menerima wang daripada Umno mengambil tindakan mahkamah terhadap penyebar rakaman itu atau membuat kenyataan berkanun menafikan kaitan dengan rakaman audio yang kini viral itu.