Malaysia Dateline

Siasatan semula kes Teoh Beng Hock harus diteruskan, kata Gobind

Siasatan semula polis berhubung kematian Teoh Beng Hock harus diteruskan seperti yang diputuskan sebelum langkah seterusnya dibuat Peguam Negara, kata Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Beliau, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, soal pertuduhan atau tidak adalah aspek yang akan disiasat polis dan kemudian keputusan akan dibuat Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Perkara ini sekarang dalam siasatan polis kemudian pihak Peguam Negara akan buat satu keputusan berkenaan dengan apa yang akan dilaksanakan. I think let the Attorney-General to make the announcement and we will take it from there (Saya berpendapat biarlah Peguam Negara membuat pengumuman dan kita akan ikut dari situ),” kata Gobind yang pernah mewakili keluarga Teoh atas kapasiti peguam, mengambil alih kes itu daripada mendiang bapanya, Karpal Singh.

Gobind berkata demikian ketika ditanya mengenai klasifikasi semula siasatan polis berhubung kematian Teoh mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, yang dilaporkan berdasarkan keputusan Peguam Negara.

Beliau ditemui selepas melancarkan Data Futures Forum 2019: Shaping our Future Together-Towards a Data Enabled Society, di kampus Heriot Watt University Malaysia di sini, hari ini.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan mengatakan keluarga mendiang Teoh berlebih-lebihan dalam membuat tuntutan, Gobind berkata kenyataan itu adalah pendapat peribadi beliau.

Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan sudah menggunakan semua proses undang-undang untuk menyiasat kematian Teoh, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan membayar pampasan kepada keluarganya.

Siasatan kes Teoh sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat. Keluarga mendiang pada 12 Mei, 2015 mendapat ganti rugi RM600,000 daripada kerajaan dan SPRM sebagai penyelesaian kes itu.