Siasatan serangan bom di Puchong diperluas ke selatan Thai

Siasatan serangan bom di Puchong diperluas ke selatan Thai

Usaha memburu dua rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Puchong penghujung bulan lalu diperluas hingga ke selatan Thailand.

Sumber pihak keselamatan Thai di Sungai Golok berkata terdapat laporan kemungkinan mereka kini berada di Thailand.

Pegawai tinggi ini yang tidak mahu mendedahkan identitinya berkata polis Malaysia telah meminta bantuan dan kerjasama rakan mereka di Thailand untuk menyiasat kemungkinan itu.

“Anggota polis dan pasukan keselamatan Thai telah diminta berjaga-jaga dan memerhati dengan teliti kemungkinan kedua-dua individu terbabit berada di Sungai Golok atau tempat-tempat lain di selatan Thailand.

“Siasatan sedang dijalankan secara sulit terhadap kemungkinan kedua-duanya berada di sini (Sungai Golok),” katanya.

Sumber itu berkata kawalan keselamatan di pintu masuk selatan Thailand termasuk jeti pendaratan haram di sepanjang Sungai Golok telah diperketatkan.

Kedua-dua suspek dikenali sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dari Rengit, Johor dan Jasanizam Rosni, 33, dari Parit Raja, Johor.

Poster yang memaparkan wajah kedua-duanya turut ditampal di enam jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak tiga hari lepas.

Sementara itu seorang penduduk tempatan di Sungai Golok berkata dia dimaklumkan pegawai keselamatan bahawa kedua-dua rakyat Malaysia tersebut mempunyai seorang rakan warga Thai di pekan sempadan itu.

“Saya diberitahu, rakan kepada kedua-dua rakyat Malaysia itu pernah bekerja di sebuah restoran di Johor, tetapi kini dipercayai berada di Sungai Golok dan bekerja sebagai penjual CD,” katanya.

Penduduk itu berkata mereka telah diminta untuk membantu pihak keselamatan Thai bagi memantau kehadiran kedua-dua rakyat Malaysia itu.

Dalam kejadian serangan pada 28 Jun di sebuah pusat hiburan di Selangor itu, lapan orang cedera. Ia merupakan kejadian serangan bom pertama di Malaysia yang membabitkan anggota kumpulan militan Daesh.

TAGS