Malaysia Dateline

Siasatan SPRM ke atas Hakim Nazlan, intimidasi terhadap institusi kehakiman

Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Kanun) berpandangan tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan Hakim Nazlan Mohd Ghazali sedang disiasat ekoran adanya satu laporan yang dibuat adalah satu tindakan yang tidak wajar dan boleh menyebabkan institusi kehakiman dipandang rendah.

Apatah lagi, menurut Pengerusi Kanun Dr Zulqarnain Lukman kenyataan itu dibuat dalam keadaan kes Dato’ Sri Najib ini sedang hangat diperkatakan di dalam dan luar negara.

Beliau memohon Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk bertindak segera mengawal keadaan ini supaya ianya tidak berpanjangan.

“Kanun percaya tindakan merendahkan-rendahkan Hakim Nazlan ini ada kaitan dengan kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan sekarang ini.

Siasatan SPRM ke atas Hakim Nazlan  intimidasi terhadap institusi kehakiman
Jika seseorang hakim didapati melakukan sebarang salah laku maka sepatutnya satu tribunal ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“KANUN juga berharap institusi seperti PDRM dan SPRM tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak ini untuk menjatuhkan mertabat insitusi kehakiman negara,” kata beliau.

Satu siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikatakan menerima wang RM1 juta bersumberkan daripada dana 1MDB.

Hakim tersebut sendiri telah membuat laporan polis terhadap tulisan yang disiarkan dalam portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang menjejaskan kredibiliti beliau.

Zulqarnain percaya ada usaha-usaha yang tersusun dibuat oleh orang tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Hakim Nazlan.

“Beberapa tulisan di blog tertentu serta klip video ringkas telah muatnaik di media sosial seperti facebook dan tiktok yang bertujuan untuk menjatuhkan Hakim Nazlan,” kata beliau.

Umum mengetahui bahawa Hakim Nazlan telah memutuskan Dato Sri Najib Tun Razak sebagai pesalah berhubung dengan kes SRC International yang mempunyai kaitan rapat dengan 1MDB.

Dato’ Sri Najib juga telah gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan.

Malah, Mahkamah Rayuan telah menyifatkan kes itu sebagai satu kejadian memalukan negara, kini Najib sedang dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Tegasnya, jika seseorang hakim didapati melakukan sebarang salah laku maka sepatutnya satu tribunal ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Perbincangan kelakuan seorang hakim secara terbuka akan menghakis kepercayaan orang ramai,” kata beliau.

Baca juga: Pemuda AMANAH kecam tindakan SPRM, gesa hentikan siasatan terhadap Nazlan