Siasatan tanah runtuh: beberapa individu lagi akan dipanggil, kata TKM 1

Siasatan tanah runtuh: beberapa individu lagi akan dipanggil, kata TKM 1

Jawatankuasa Khas Siasatan bagi kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus di sini  akan memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakidyuddin Abdul Rahman.

Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata setakat ini beberapa pihak telah dipanggil antaranya daripada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar serta gabungan kumpulan masyarakat sivil Penang Forum.

“Jawatankuasa akan bermesyuarat lagi esok dan kemungkinan siasatan mengambil masa lebih sebulan bagi mendengar pandangan semua pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang di Politeknik Balik Pulau, di sini hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata arahan henti kerja oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) masih berkuat kuasa di tapak berkenaan.

“Saya difahamkan hanya kerja-kerja mitigasi cerun yang mendapat kebenaran DOSH dan CIDB dibenarkan di tapak berkenaan,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus pada 19 Okt lepas mengorbankan 10 pekerja asing dan menyebabkan empat yang lain  cedera.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata tiada sebarang keperluan untuk kerajaan negeri menggubal undang-undang lain menurut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

“Dalam keadaan negeri sekarang ini saya rasa kita tak perlu lagi pendekatan sedemikian. Apa yang paling penting ialah kita perhebatkan program untuk mempromosi Islam sebagai agama ‘rahmatan lil’ alamin’ selain memperkasa aktiviti perpaduan dan menghormati antara kaum,” katanya.

Perkara 11(4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang Islam.

Semalam,  Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Salim Mohd. Noor dilapor telah menyarankan kerajaan negeri supaya menggubal undang-undang berkaitan kuasa yang diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan itu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Pada 6 Nov lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa  mengaku terdapat aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular menerusi laman sosial.

— BERNAMA