Malaysia Dateline

Siasatan terhadap Tajuddin dipertikai, ‘terang-terang tak pakai pelitup, benda boleh saman terus’

Orang ramai dilihat tidak berpuas hati apabila Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak terus dikompaun seperti dikenakan kepada rakyat.

Rata-rata warganet menganggap sudah terang lagi bersuluh Ahli Parlimen Pasir Salak dari Umno itu hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka pada sidang media semalam.

Mereka berang dan kegagalan mengenakan kompaun segera kepada Tajuddin mengukuhkan lagi tanggapan sebelum ini bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya tertakluk ke atas rakyat biasa.

“Benda terang dah tak pakai pelitup muka. Lagi nak buka terlentang kertas (siasatan) apa lagi?

“Cakap double standard marah pula. Tang rakyat biasa tak tentu arah nak menyaman cepat,” bidas pengguna Facebook, Ah Chan.

Hal sama juga dibangkitkan Dachie Daus dalam reaksinya berhubung tindakan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin.

“Terang-terang gambar tak pakai mask, nak pnggil buat apa lagi. Benda boleh saman terus. Kita tunggu apa tindakan selanjutnya. Paling penting ada antara dua darjat di situ,” katanya.

Tidak kurang juga yang berpendapat Tajuddin sebagai pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ‘tidak boleh pakai’.

“Siasatan ke benda, sumbat sajalah dalam lokap dulu. Dah terang-terang tak pakai pelitup muka.

“Apa dia ingat cover plastik tu boleh beri dia selamat ke? Tak boleh pakai punya,” bentak Abd Rahman.

Isu “kelas kayangan” juga kembali berbangkit apabila rakyat biasa dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun kerana ingkar SOP PKP.

“Bila melibatkan orang kayangan, bukti depan mata sebesar gajah pun kena buka kertas siasatan. Walhal, terang-terang mata dah disajikan dengan bukti,” hujah Larasati Aisya.

Semalam, Tajuddin yang juga bekas pesakit Covid-19 itu dilihat tidak memakai pelitup muka ketika kes jangkitan pandemik itu semakin meningkat selepas melawat lokasi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam terowong berhampiran KLCC.

Susulan itu, polis memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan pada hari sama berhubung SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, semua mereka yang terbabit dalam kes itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.