Malaysia Dateline

#SiBodohKauDengarSini tuju pada kerajaan buat hal rakyat sedang lapar

Pengguna Twitter mula mengaitkan tanda pagar #SiBodohKauDengarSini sebagai hasil dari tindakan kerajaan yang dianggap sebagai ‘cari pasal’ dan ‘buat hal’ dengan rakyat yang sedang lapar.

Ini berikutan keengganan kerajaan untuk melonggarkan waktu perniagaan gerai makan sehingga jam 10 malam seperti yang dituntut banyak pihak terutama mereka yang terpaksa bekerja sehingga lewat malam.

Tanda pagar berkenaan sehingga tengahari ini sudah melebihi 60,000 Tweet dengan rata-ratanya menggunakan ayat berkenaan sebagai ‘meme’ dan mendesak kerajaan untuk tidak berdiam diri.

Ianya bermula gara-gara pengguna Twitter @yarafaee_ yang menulis “Si bodoh, kau dengar sini” kepada seorang pengguna yang berpendapat orang ramai tidak seharusnya menjadikan semua isu sebagai masalah.

“Si bodoh, kau dengar sini, dengan business hour from 11-8pm tu seluruh rakyat Malaysia order in between that time only tau.

“Kau tau tak sampai hang machine foodpanda/grab tu? Orang balik kerja tak ada masa nak masak sebab awal pagi esok dah kena pergi kerja balik,” tulis @yarafaee_

Kekecewaan juga semakin ketara dicetuskan apabila ada yang menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh hanya kerana disebabkan sikap sambil lewa dan sengaja cari pasal membiarkan rakyat kelaparan.

“#SiBodohKauDengarSini trending nombor 1 hasil daripada tindakan kerajaan yang buat hal dengan rakyat sedang lapar. Kenapa anda cari pasal?,” tulis warganet.

Pengguna Aaron Danison yang menyokong peniaga kecil berkata, inilah kuasa rakyat Malaysia apabila sedang lapar dan kerajaan sepatutnya melonggarkan waktu operasi gerai makan sehingga jam 10 malam.

“Jangan pernah cari pasal apabila melibatkan makanan dan ketika mereka lapar. Biarkan perniagaan makanan beroperasi sehingga 10 pm,” tulisnya.

Tidak ketinggalan, ada yang menyebut Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri dalam satu ciapan yang meminta agar beliau mendapatkan maklum balas rakyat sebelum menguatkuasakan sebarang arahan.

“Dengar tak @IsmailSabri60? Sila dapatkan maklum balas daripada rakyat dulu sebelum buat apa perintah. Jangan suka-suka buat pengumuman dan ‘u-turn’,” tulis pengguna @DrCastiglion3.

Isu tuntutan kelonggaran operasi kedai makan sudah diutarakan banyak pihak dengan orang ramai mengadu tidak sempat membuat pesanan makanan, selain pesanan dibatalkan biarpun tempahan dibuat seawal jam 5 petang.

Bagaimanapun kerajaan sehingga hari ini masih tidak membuat ketetapan melonggarkan had operasi gerai makanan selepas sudah hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Memetik respon segera Ismail kepada media hari ini, beliau berkata agak sukar mempertimbangkan permintaan tersebut memandangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

“Kami juga menerima pertanyaan dari beberapa orang, semua premis perniagaan ditutup pada pukul 8 malam. Kalau restoran tutup pukul 10 (malam), maka perlu ke buka kedai lain sampai pukul 10?

“Kes (sekarang) masih dalam sekitar 3,000 lebih. Susah juga tu, jadi biarlah KKM keluarkan pandangan mereka,” katanya.