Malaysia Dateline

Sibu belum terima vaksin, suntikan ditangguh semalam

Pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua di Sibu ditangguhkan semalam gara-gara belum menerima bekalan vaksin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu berkata, suntikan vaksin sepatutnya berlangsung di Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Tertutup Sibu tetapi ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan nanti.

“Penangguhan ini disebabkan Pusat Pemberian Vaksin berkenaan belum menerima bekalan vaksin Covid-19.

“Justeru, orang awam yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin sama ada melalui kaunter Klinik Kesihatan berdekatan, Pejabat Daerah atau Ketua Komuniti serta aplikasi MySejahtera, tarikh janji temu yang baharu akan ditetapkan melalui aplikasi My Sejahtera kelak,” ujar JPBB dalam satu kenyataan.

Semalam, lebih 900 daripada golongan warga emas dan petugas barisan hadapan disenaraikan akan menerima suntikan vaksin pada hari pertama Fasa kedua Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 di Sibu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing memberitahu pemberian vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditangguh disebabkan masalah pelepasan lot.

Jelas beliau, masalah vaksin itu tidak dapat dibekalkan ke Sibu telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Kesihatan Sarawak pada 16 April lalu.

Katanya, isu tersebut timbul apabila berlaku kekeliruan oleh sebuah klinik yang telah memberi tarikh janji temu kepada sesetengah pesakit yang disenaraikan.

“Awal April lalu, KKM telah menyediakan satu senarai nama tunggu sedia petugas-petugas barisan hadapan.

“Malah, pesakit penyakit kronik yang disaring juga bersedia menerima suntikan vaksin pada 20 April (semalam) dirancang akan diberi di PPV di Stadium Tertutup Sibu,” ujarnya sambil memaklumkan perancangan awal adalah untuk pemberian kepada 800 petugas barisan hadapan untuk penerima Fasa 2 dalam senarai tunggu sedia.

Namun, tegas beliau pada 16 April lalu, JKN Sarawak dimaklumkan terdapat masalah lot release (pelepasan lot) oleh KKM dan vaksin tersebut tidak dapat dibekalkan ke Sibu.

Bagaimanapun, Chin berkata tarikh baharu pemberian vaksin akan diumumkan kemudian melalui aplikasi Mysejahtera.