Malaysia Dateline

Sibu kuatkuasa SOP khusus di tujuh Zon PKPB bermula esok

Prosedur operasi standard (SOP) khusus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di tujuh zon di Sibu bermula esok hingga 26 April ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, tujuh zon terbabit terditi daripada 34 zon di bandar ini yang dikenakan SOP khusus susulan peningkatan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Katanya, zon terlibat ialah Sukun/Lada, Mantis, Poh Yew, Bukit Lima, Tong Sang, Pusat Bandar Sibu dan Tiong Hua.

“Sepanjang tempoh SOP itu, jumlah di dalam kereta terhad kepada tiga orang sahaja pada satu-satu masa.

“Manakala, aktiviti sukan dan rekreasi turut tidak dibenarkan, malah aktiviti keagamaan tertakluk kepada garis pamduan yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain,” jelas JPBB dalam satu kenyataan.

Sementara itu JPBB menegaskan, premis makanan seperti kedai kopi, kafe dan restoran hanya dibenarkan untukĀ  menyediakan perkhidmatan bawa pulang sahaja.

“Untuk aktiviti makan di dalam premis makanan (dine-in) adalah dilarang serta Pasar Sentral yang terletak di Pusat Bandar Sibu akan ditutup.

“Bagi semua perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam dengan kapasiti jumlah pekerja dihadkan kepada 50 peratus,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, SOP khusus ini dilaksanakan merupakan persetujuan daripada pihak polis selain memaklumkan bahawa semua sektor lain tidak akan dibenarkan beroperasi bermula esok.

“Aktiviti lain termasuk pusat urut, spa, pusat refleksologi, kelab malam, pusat hiburan dan karaoke juga tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut,” kata JPBB.