Sibuk bermain, budak lelaki terperangkap dalam kontena

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki terkejut apabila terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena semasa melakukan pemeriksaan di kawasan Pelabuhan Barat.

Apa yang lebih mengejutkan adalah penemuan kanak-kanak lelaki dalam keadaan lemah.

Kejadian pada Rabu lalu tular di media sosial selepas video budak lelaki yang lemah keluar dari kontena sambil diiringi pihak polis bantuan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun berhubung perkara itu pada 1.53 tengah hari, Rabu lalu.

“Menurut pengadu, kira-kira 9 malam pada 17 Januari (Selasa), dia mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalam kontena berkenaan.

“Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri. Laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Siasatan lanjut mendapati sebuah kapal MV Integra bertolak dari Chittagong, Bangladesh, pada 12 Januari lalu.

Ini bermakna kanak-kanak tersebut sudah terperangkap selama enam hari sebelum diselamatkan.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan disahkan dalam keadaan stabil.

Berdasarkan keterangan mangsa, Hoong Fong memaklumkan kanak-kanak tersebut sedang bermain bersama kawan di Chittagong, Bangladesh.

Dia bagaimanapun masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga dijumpai oleh pengadu di Pelabuhan Barat.

“Siasatan mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.

Baca juga: Lagi kes Mat Saleh mengemis duit di kaki lima, rakyat Malaysia gesa imegresen segera ambil tindakan