Malaysia Dateline

‘Sibuk dengan kereta api laju, kapal pun bertahun tak siap lagi’

Selepas gagal untuk memasukkan bukti tambahan semalam menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi bercerita tentang kereta api berkelajuan tinggi pula.

Walau bagaimanapun, orang ramai dilihat menyindir beliau termasuk mengaitkan dengan isu projek pembinaan lima kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didedahkan telah menelan RM6.083 bilion.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) menerusi hantaran di Facebook pagi tadi berkongsikan klip video operasi kereta api berkelajuan 350 km/jam yang akan digunakan bagi laluan Jakarta ke Bandung.

Dia seterusnya menyebut tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumum semasa pentadbirannya di Putrajaya tetapi terbatal apabila perjanjian dua hala mengenai projek itu luput, pada 31 Disember 2020.

“Dahulunya perancangan kita untuk HSR Malaysia juga kira-kira berkelajuan hampir sama. Di rantau kita ini, Thailand dan Laos dah buat, menghubungkan negara mereka ke China.

“Indonesia dah mula dan bakal mempunyai beberapa lagi pembangunan infrastruktur. Vietnam dilaporkan dalam pertimbangan dan perancangan melaksanakan high speed rail,” kata Najib.

Namun, deretan komentar dalam hantaran Najib berkenaan kereta api berkelajuan tinggi itu rata-ratanya berbaur sinis selain dalam masa kata-kata semangat daripada penyokong Bossku tersebut.

“Sibuk dengan kereta api laju. Kapal pun tak siap lagi sampai sekarang” kata Shukran Adnan manakala Luqman Musthafa memerli, “Jangan lupa MRT laluan Sungai Buloh. Turun di situ ya.”

Ramai juga mengingatkan bahawa pelbagai perancangan projek mega dilihat cantik pada kertas tetapi bermasalah dari segi integriti apabila duit rakyat bocor di sana sini.

“Rancang dah cantik cuma elakkan sakau dalam proses,” tempelak seorang netizen.

Selain komentar bernada sindiran, terdapat juga kalangan warganet dipercayai penyokong Najib meninggalkan kata-kata semangat.

Antaranya, Ruzawi Bais yang secara terbuka berkata kagum dengan semangat dan daya juang Najib walaupun, katanya, keputusan mahkamah tidak memihak pada suami Datin Seri Rosmah Mansor itu.

“… beliau (Najib) terus tabah dan masih mampu memberi penerangan dan penjelasan berfakta tentang ekonomi negara kepada rakyat. Terima kasih Datuk Seri.

“Mungkin Datuk Seri tewas di mahkamah dunia yang dikuasai menteri-menteri umpama singa dan hakim-hakim umpama anjing yang menjelirkan lidah pada tuannya.

“Namun, insyaAllah di mahkamah akhirat ada balasan baik dan setimpal ke atas Datuk Seri. Saya rakyat biasa hanya mampu berdoa semoga Datuk Seri dikurniakan ketabahan dan kesabaran yang tinggi serta dilindungi Allah sentiasa,” tulis Ruzawi.

Najib semasa pentadbirannya sebagai Perdana Menteri pernah digelar sebagai Bapa Sistem Pengangkutan Awam kerana dilihat memperbaiki sistem pengangkutan awam di negara ini.

Baca juga ‘Tren ke Sungai Buloh hampiri destinasi’, hadiah merdeka dinanti dari YB hingga rakyat

Baca juga “Sedangkan Nabi maafkan umat” – Pensyarah jijik mohon pelajar tarik balik laporan polis