Malaysia Dateline

Sibuk dengan PM buat lawatan, Azmin sendiri gagal manfaat RM5 bilion untuk Felda

Dr Dzulkefly ketika wawancara khas bersama Zul Sulong.

Dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal membela rakyat ketika diberi peluang untuk memerintah Kerajaan Persekutuan dan negeri sepatutnya bermula dalam mesyuarat Kabinet.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hal tersebut boleh dilakukan oleh Azmin sebagai Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) memandangkan hampir setiap minggu Jemaah Menteri bermesyuarat.

“Selama 21 bulan tidak pernah dibangkitkan kelemahan-kelemahan kita sebagai kerajaan. Kita ada semak imbang dan berbincang.

“Tetapi beliau berkempen dalam PRK DUN Slim dengan mengatakan PH gagal, saya cenderung memikirkan yang dimaksudkan gagal itu adalah mungkin kementeriannya sendiri,” katanya dalam wawancara eksklusif Malaysia Dateline semalam.

Menurutnya, beberapa langkah telah diputuskan melibatkan perbincangan mengenai peruntukan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pertanian bagi menangai isu Felda yang terletak di bawah kementerian diterajui Azmin.

“Saya masih ingat dalam pusingan mesyuarat Kabinet, sebenarnya telah ada beberapa keputusan yang mereka sepakati.

“Saya bertanyakan kepada menteri-menteri ini. Perancangan baik, kewangan yang diberikan juga baik, RM5 bilion peruntukan diberikan Kementerian Kewangan tetapi beliau (Azmin) gagal melaksanakan dan menunaikannya,” tegas Dr Dzulkefly.

Sibuk berdamping 

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Azmin turut gagal melaksanakan usaha menambah pendapatan rakyat melalui tanaman kontan dan ternakan ruminan dengan perancangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Minta maaf kalau saya mengatakan bahawa kami rasa pada ketika itu lagi menteri ini (Azmin) memang sibuk berdamping dengan Perdana Menteri membuat lawatan-lawatan.

“Tetapi apabila kita berbincang tentang laporan prestasi seperti mana dilakukan menteri lain, saya kira mengecewakan.

“Hari ini bila beliau mengatakan PH gagal, beliau bercakap tentang kegagalan beliau sendiri,” tegasnya.

Pengarah Strategi AMANAH itu juga menjelaskan berbanding Azmin, pemimpin kerajaan PH lain menerusi kementerian masing-masing terlalu sibuk bekerja tanpa mengira waktu.

“Saya dan menteri-menteri lain bertungkus-lumus selama 21 bulan siang, malam tiada hujung minggu.

“Jadi, untuk mengatakan PH gagal semudah itu, saya menganggap mungkin kementeriannya sendiri (Azmin),” tambah Dr Dzulkefly lagi.