Pencetus Ummah, PU Syed Mohd Bakri menyeru para ulama di Kedah untuk menegur kelakuan Menteri Besar negeri tersebut iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Seruan tersebut dibuat PU Syed susulan penularan satu rakaman video memaparkan pemimpin Pas terbabit yang tampak begitu ‘syok’ menyanyi lagu raya di atas pentas.
Menurutnya, tindakan Sanusi yang menyanyi sambil berlatarbelakangkan beberapa orang penari kanak-kanak perempuan itu tidak wajar dilakukan sebagai pemimpin Pas.
Perbuatan Sanusi ini bukan sahaja mencemar imejnya sebagai wakil rakyat, tetapi langsung tidak mencerminkan akhlak pemimpin parti yang menjunjung agama Islam.
Difahamkan, video yang tular di laman TikTok itu dirakam ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), baru-baru ini.
“Adakah kalian nak buat pembaharuan tetapi menyalahi kepimpinan Ulama? Para Ulama di Kedah khasnya, tolong tegur secara tegas terhadap MB kesayangan rakyat Kedah agar lebih berhati-hati.
“Supaya, perkara ini tidak menjadi bola tanggung kepada pihak lawan. Tegur tanda sayang. Tetapi kalau kerap sangat ditegur namun masih tak dengar, ambe (saya) harap digantikan dengan MB yang baharu.
“Jagalah himmah sebagai pemimpin gerakan islam,” mohon pendakwah bebas itu di dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
PU Syed turut menggesa agar Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berhenti menyanyi kerana ia menunjukkan contoh tidak baik kepada pengikutnya.
Jelas pendakwah berkenaan, masih banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tanpa mengundang pandangan negatif terhadap parti.
“Wahai YAB DS MB (Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar) cukup-cukuplah menyanyi. Banyak perkara lain yang boleh dilakukan selain menyanyi. Kali ini video yang tersebar, disertakan tarian di belakang.
“Ianya sangat tidak bagus! Ambe sangat tidak setuju kalau pemimpin Pas menunjukkan contoh sebegini kepada khalayak ramai atas alasan berhibur dan menghiburkan.” Tegasnya.