Malaysia Dateline

Kanak kanak dan orang awam menjadi mangsa kempen serangan Arab Saudi dan sekutunya di Yaman.

Sidang damai di Sweden untuk tamatkan perang saudara di Yaman

Wakil-wakil rasmi kerajaan Yaman yang diiktiraf oleh masyarakat dunia dijadualkan akan mengadakan perbincangan damai dengan pihak Houthi di Sweden di dalam usaha untuk menamatkan konflik yang melanda negara berkenaan sepanjang tempoh dua tahun ini, lapor CNN.

Perbincangan yang dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini adalah hasil desakan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan konflik di Yaman serta mengambil kira keadaan kemanusiaan yang semakin meneruk di negara tersebut.

Dijangka seramai 14 juta rakyat Yaman menderita akibat daripada kekurangan makanan dan dianggarkan seramai 85,000 kanak-kanak dibawah umur 5 tahun sudah meninggal dunia akibat kelaparan, jelas agensi kemanusiaan Save the Children.

Delegasi Houthi telah tiba di Sweden pada hari Selasa bersama-sama Duta Khas PBB ke Yaman, Martin Griffiths. Griffiths merupakan individu penting yang telah membawa kedua-dua pihak ke meja perbincangan. Menteri Luar Sweden juga turut mengesahkan bahawa wakil Kuwait selaku pengantara atau orang tengah untuk perbincangan ini telah tiba di Sweden.

Sebelum ini Kuwait telah menganjurkan perbincangan aman pada tahun 2016, tetapi gagal selepas pihak Houthi menolak cadangan yang diusulkan pihak PBB dalam menamatkan perang tersebut. Pegawai rasmi kerajaan Yaman turut meninggalkan perbincangan tersebut tidak lama kemudian.

Perbincangan di Sweden kali ini hampir menemui tarikh akhirnya selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis menetapkan tempoh selama 30 hari untuk kedua-dua belah pihak mengadakan perbincangan secara berhadapan.

Konflik di Yaman bermula apabila Houthi mengambil alih Sanaa pada Ogos 2014 dan keadaan menjadi lebih buruk selepas campur tangan oleh Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu pada Mac 2015.

Menurut PBB, peperangan ini telah menyebabkan lebih daripada 10,000 nyawa terkorban dan diklasifikasikan sebagai “krisis kemanusiaan terburuk dunia”. Tambah PBB, Yaman juga merupakan antara negara yang mempunyai masalah kebuluran yang terteruk di dunia dalam tempoh seratus tahun ini.