Malaysia Dateline

Sidang Dewan Rakyat ditangguh lagi 5.15 petang, semua MP wajib jalani ujian Covid-19

Sidang khas Dewan Rakyat yang sepatutnya disambung 3.30 petang ditangguhkan sekali lagi sehingga jam 5.15 petang.

Penangguhan itu diumum selepas sidang sepatutnya kembali bermula jam 2.30 petang tadi disambut sorakan tidak puas hati blok pembangkang.

Pengumuman penangguhan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebentar tadi juga memberitahu semua Ahli Parlimen perlu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19.

Tindakan tersebut susulan penemuan dua kes positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah hadir ke Parlimen sejak Isnin lalu hingga ke hari ini.

“Kedua-dua kes (petugas Parlimen) berada di sekitar lokasi sepanjang tempoh tersebut,” umum Rashid.

Sehubungan itu, kesemua individu yang berada di Dewan Rakyat termasuk Ahli Parlimen perlu menjalani ujian saringan dan pengesanan Covid-19.

“Tiada sesiapa dibenarkan keluar dari Parlimen sehingga keputusan diperoleh. Ujian saringan dilakukan di Pintu Tiga Blok Utama,” katanya lagi.