Malaysia Dateline

Sidang Dewan Rakyat Isnin ini ditangguh atas arahan PM

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang hanya tinggal sehari sahaja lagi Isnin ini telah ditangguhkan atas arahan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Menurut surat berkenaan, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa sidang Mesyuarat Khas pada 2 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pemakluman itu Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Penangguhan ini adalag selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan perkembangan terbaru COVID-19.

Di mana pihak KKM mendapati Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan COVID-19.

“Oleh itu saya diarahkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan kepada Ahli Berhormat bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin 2 Ogos ini,”kata Setiausaha Dewan Rakyat.