Malaysia Dateline

Sidang Dun Melaka gamat isu babi hutan

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka kecoh seketika berikutan dakwaan populasi babi hutan di negeri ini bertambah akibat migrasi haiwan itu dari Sumatera, Indonesia.

Dewan gamat apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Idris Haron mencelah ketika Gua Teck (PH-Klebang) mengemukakan soalan tambahan mengenai operasi memburu babi hutan di negeri ini.

Idris berkata kerajaan negeri seharusnya peka terhadap hubungan diplomatik dengan Indonesia dan perlu mempunyai bukti kukuh sebelum membuat dakwaan tersebut.

Pada 5 Sept lepas, sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai berkata babi hutan berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera dan singgah di Pulau Besar sebelum berenang ke Melaka sehingga menyebabkan populasi haiwan itu meningkat.

Bernama pada 8 Nov melaporkan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata tiada bukti atau laporan spesifik menyatakan peningkatan populasi babi hutan di Pulau Besar di sini disebabkan migrasi haiwan itu dari Sumatera, namun kajian mengenai dakwaan itu perlu dilakukan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Gua, Norhizam berkata pihaknya telah menembak sebanyak 479 ekor babi sehingga Oktober 2019.– BERNAMA